khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pakatan Harapan (PH) Johor bersiap sedia menggembleng usaha sebaik mungkin untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Dalam kenyataan PH menyifatkan tidak ada pilihan raya yang mudah, selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan berkuatkuasa hari ini.
“PH Johor ambil maklum pengumuman oleh Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz (Ghazi) berkaitan pembubaran DUN Johor berkuatkuasa hari ini.
“Dari awal lagi PH telah menjangkakan BN akan membubarkan DUN dalam masa terdekat. Dan ternyata sidang DUN yang diumumkan akan diadakan pada 22 Jun nanti adalah ‘tidak masuk akal’ sama sekali,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Pengerusi Amanah Johor merangkap Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching.
Terdahulu, DUN Negeri Johor yang mempunyai 56 kerusi secara rasmi dibubarkan hari ini, bagi memberi laluan kepada PRN ke-16.
Pembubaran itu diumumkan Onn Hafiz dalam satu sidang media khas di kediaman rasminya.
Mengulas lanjut, PH Johor berkata, atas semangat demokrasi, gabungan itu akan meneruskan persiapan sedia ada bagi menghadapi PRN ini.
“PH Johor juga akan memanjangkan perbincangan ke peringkat Majlis Presiden PH Pusat bagi merangka langkah seterusnya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




