jashadiqe@nst.com.my
Johor Bahru: Enggan ‘melukakan perasaan anak’ menyebabkan seorang ibu tunggal sekadar menutup mata dan membiarkan anak gadis dan tunangnya berkongsi bilik di rumah keluarga.
Wanita berusia 20-an dan lelaki berusia 30 tahun itu ditahan pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), jam 2 pagi di sebuah flat di sini, minggu lalu.
Menurut kenyataan JAINJ, pasukan penguat kuasa yang bertindak atas maklumat awam, menemui pasangan itu berada di dalam bilik tidur yang berkunci.
Katanya, ketika serbuan ibu wanita terbabit, seorang ibu tunggal berusia 40-an bersama adik-adik wanita itu, berada di ruang tamu ketika serbuan dilakukan.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati satu bilik berkunci dan seorang penguat kuasa mengetuknya.
“Pintu dibuka lima minit kemudian oleh seorang wanita yang berpakaian seluar pendek dan t-shirt, manakala seorang lelaki berseluar pendek dan t-shirt sedang duduk atas katil.
“Apabila disoal siasat, ibu wanita itu mengakui dia tahu tunang anaknya sering bermalam di rumah mereka.
“Namun, dia tidak menghalangnya kerana tidak mahu ‘melukakan perasaan anaknya’ dengan melarang mereka berdua-duaan dalam bilik berkunci,” katanya,
Menurut kenyataan itu, pasangan berkenaan sudah bertunang selama dua tahun namun setakat ini belum menetapkan tarikh perkahwinan.
Katanya, siasatan lanjut mendapati, lelaki berkenaan seorang duda bekerja di Singapura, dan wanita itu yang bekerja di Johor Bahru.
Pasangan itu dibawa ke pejabat JAINJ untuk tindakan lanjut dan kes disiasat bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Johor) kerana kesalahan khalwat (berdua-duaan).
© New Straits Times Press (M) Bhd




