Tahap siapsiaga BiGBen JKR dipertingkat untuk hadapi MTL

Tahap siapsiaga BiGBen JKR dipertingkat untuk hadapi MTL

am@hmetro.com.my

Tanjung Malim: Tahap kesiapsiagaan Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) Jabatan Kerja Raya (JKR) dipertingkatkan sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka melanda antara November hingga Februari 2026.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, antara usaha dilakukan termasuk melalui pemasangan 73 stesen tolok hujan, tiga Robotic Total Station (RTS) dan satu unit GNSS (Global Navigation Satellite System) untuk memantau cerun berisiko.

“Sebahagian besar pemasangan alat itu juga disasarkan di negeri di pantai timur Semenanjung.

“BiGBen ini beroperasi sepanjang masa bagi memantau kemungkinan bencana yang berlaku seperti tanah runtuh, bukan hanya pada musim MTL sahaja,

“Selama ini pun ia aktif tetapi (sekarang) kita gerakkan lebih kerana sudah tiba masanya apabila musim MTL tiba.

“Kira-kira tiga minggu lepas saya sudah melawat unit khas itu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim, di sini.

Selain Alexander, penyerahan IPD Muallim yang siap dibina pada Jun 2025 dengan kos keseluruhan RM85 juta itu turut disaksikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top