Penggantian kad boleh dilakukan selepas laporan perubatan, maklumat terkini dikemukakan – JKM

Penggantian kad boleh dilakukan selepas laporan perubatan, maklumat terkini dikemukakan – JKM

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tampil dengan penjelasan berhubung isu membabitkan pelakon Zarina Zainuddin di Harian Metro, semalam.

Zarina yang mahu menggantikan kad Orang Kelainan Upaya (OKU) anaknya, Azal Azrai yang hilang mendakwa, rekod Azal gagal dikesan dalam sistem JKM dan diminta membuat laporan polis.

JKM menerusi satu kenyataan berkata, semakan mereka mendapati tiada maklumat pengesahan pegawai perubatan direkodkan dalam Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU) bagi anak pelakon terbabit.

“Petugas telah memberikan penerangan lanjut, menyerahkan Borang BPPOKU (Pindaan 2019) untuk diisi dan menandakan bahagian berkaitan bagi memudahkan rujukan klien (Zarina).

“Klien turut disarankan untuk membuat laporan polis sebagai langkah pencegahan terhadap sebarang kemungkinan penyalahgunaan kad.

“Selain itu, klien juga menyerahkan satu lagi kad OKU milik anak kembarnya bagi tujuan penggantian kad rosak. Hasil semakan menunjukkan situasi yang sama iaitu tiada pengesahan perubatan dalam sistem dan maklumat tersebut belum pernah dikemaskini,” kata kenyataan terbabit.

Menurutnya, Zarina sudah dimaklumkan bahawa penggantian kad baharu (kad QR) hanya boleh dilaksanakan setelah laporan perubatan atau makluman pengesahan terkini dikemukakan.

“Ini adalah kerana, sistem SMOKU yang diperkenalkan pada tahun 2011 telah melalui beberapa fasa menaik taraf dengan penambahan subkategori OKU serta pengenalan kad OKU baharu berteknologi QR.

“Oleh itu, klien telah disarankan untuk melakukan pengesahan semula oleh pegawai perubatan bagi membolehkan pengemaskinian data dibuat dalam sistem serta membuat laporan polis sebagai langkah keselamatan dan perlindungan data peribadi.

“Hasil daripada tindakan susulan dan khidmat nasihat yang diberikan, klien telah menyerahkan semua dokumen berkaitan kepada JKM pada 15 Oktober 2025. Kad OKU anak klien telah diproses dan dikeluarkan oleh JKM pada 16 Oktober 2025,” katanya lagi.

Kenyataan terbabit turut memaklumkan JKM sentiasa komited untuk memastikan setiap urusan berkaitan pendaftaran, pengemaskinian dan penggantian kad OKU dilaksanakan secara tertib, telus dan berpandukan prosedur operasi standard (SOP).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top