4 pelajar antara lapan individu didakwa bergaduh guna topi keledar

4 pelajar antara lapan individu didakwa bergaduh guna topi keledar

am@hmetro.com.my

Tangkak: Empat pelajar antara lapan individu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan terbabit dalam pergaduhan membabitkan dua kumpulan dan mendatangkan kecederaan menggunakan topi keledar serta besi aluminium.

Mereka ialah Lim Lit Jun, 43, Sky Chang Ji Shiang, 20, Ong Chee Hao, 18, dan Tan Yi Jin, 18, manakala empat lagi tertuduh yang juga pelajar masing-masing berusia 14 dan 16 tahun.

Kesemua mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 160 Kanun Keseksaan sebaik pertuduhan dikemukakan secara berasingan di hadapan Majistret Lee Kim Kiat.

Namun, bagi pertuduhan mengikut Seksyen 324, tertuduh, Yi Jin serta dua pelajar berusia 16 tahun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan Ji Shiang menggunakan topi keledar dan besi aluminium.

Mahkamah menetapkan 28 Oktober ini untuk serahan dokumen serta lantikan peguam.

Bagi tertuduh Lit Jun, dia dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mencederakan Ji Shiang, 20, dengan menumbuk menggunakan tangan.

Tertuduh mengaku bersalah dan mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM600 dan boleh dipenjara sebulan jika gagal membayarnya.

Kesemua kejadian itu berlaku di hadapan sebuah pusat snuker Jalan Kemajuan di sini, pada jam 10.33 malam, 7 Oktober lalu.

Seksyen 323 memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai setahun atau denda RM2,000 manakala Seksyen 160, penjara enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-dua jika sabit kesalahan.

Manakala Seksyen 324 pula, penjara sehingga 10 tahun atau sebatan atau denda ataupun mana-mana dua daripada hukuman itu.

Bagi pengakuan bersalah mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 160, mahkamah menetapkan 1 Disember ini untuk sebutan laporan akhlak, fakta dan perintah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Sapian manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top