LUAS kesan aliran air berwarna

LUAS kesan aliran air berwarna

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan aliran air berwarna di kawasan longkang di Jalan Udang Gantung, Telok Gong, Klang, semalam.

LUAS berkata, aliran itu juga dipercayai akhirnya masuk ke Sungai Langat dan pihaknya segera ke di lokasi dan menjalankan siasatan.

“Hasil siasatan mendapati kejadian disyaki berpunca daripada sebuah premis yang menjalankan aktiviti kitar semula plastik.

“Semakan lanjut LUAS mendapati aliran berwarna itu berpunca daripada sebuah mesin di dalam premis yang mengalir masuk ke dalam longkang berhampiran,” katanya, malam tadi.

LUAS berkata, pihaknya mengarahkan premis terbabit untuk menghentikan aliran serta merta, selain melakukan pensampelan di lokasi terbabit untuk dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) bagi analisis lanjut.

“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 79 dan Seksyen 59 Enakmen LUAS 1999 bagi tindakan lanjut penguatkuasaan terhadap kesalahan mencemarkan sumber air tertakluk kepada keputusan analisis JKM itu, dan kesalahan tidak mempunyai Lesen Pembuangan Air Kembalian, dan Lesen Kemasukan atau Pelepasan Bahan Buangan dan Bahan Pencemar.

Tindakan juga diselaraskan bersama pihak Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi penguatkuasaan di bawah bidang kuasa agensi,” katanya.

Katanya, situasi di lokasi aliran dihentikan sepenuhnya daripada memberikan impak yang lebih teruk kepada sumber air atau sungai berhampiran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top