'Semoga ada kelembutan hati dia untuk saya, anak' – Isteri Nubhan

'Semoga ada kelembutan hati dia untuk saya, anak' – Isteri Nubhan

Kuala Lumpur: Isteri kepada penyanyi dan usahawan Nubhan iaitu Dr Afifah Hidayah, 36, menarik perhatian ramai apabila berdoa agar keajaiban dari Tuhan untuk melembutkan hati suaminya.

Ia diluahkan doktor gigi itu selepas mendapati ramai dikalangan pengikut dan warga maya menzahirkan sokongan dan doa kepadanya.

“Terhibur hati hari ini, tiba-tiba ada masa baca kata-kata semangat kalian.

“Doa yang baik-baik untuk saya dan Nubhan ya.

“Semoga ada kelembutan dalam hati dia untuk saya dan anak-anak. Boleh ke macam itu? Bolehlah ya,” tulisnya di Threads.

Dalam hantar lain pula, Afifah atau pemilik nama penuh Afifah Hidayah Ahmad Tawfek mengakui tidak mudah untuk menempuhi pelbagai ujian dan dugaan dalam tempoh sekarang namun sedia mengharungi dengan tabah.

Afifah turut mendoakan yang terbaik buah Nubhan selain berharap penyelesaian terbaik.

“Alhamdulillah untuk segala-galanya, walaupun babak ini berakhir tidak seperti yang saya harapkan.

“Saya masih ada kasih dan sayang untuknya dan saya benar-benar mendoakan kebaikan untuknya.

“Semoga Allah SWT membimbing kami berdua ke jalan terbaik, menyembuhkan semua terluka dan menggantikan setiap kehilangan dengan rahmat-Nya,” katanya.

Terdahulu, berita perceraian membabitkan Nubhan dan Afifah mengejutkan ramai. Nubhan dilaporkan pernah melafazkan cerai pada 2017 sebelum kembali rujuk tiga hari kemudian.

Namun, pasangan itu bercerai kali kedua pada 26 Ogos lalu dan kini tinggal berasingan.

Pada prosiding pengesahan lafaz cerai kelmarin, Mahkamah Rendah Syariah Sepang menetapkan 2 Disember depan sebagai tarikh perbicaraan.

Nubhan dan Afifah mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 dan dikurniakan tiga cahaya mata masing berusia antara tiga hingga lapan tahun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top