mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Dua kumpulan terkenal Indonesia, Radja dan Wali akan bergabung dalam konsert istimewa dinamakan Pentas RadjaWali Live in Malaysia yang bakal berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya pada 10 Januari depan.
Konsert anjuran Impian Al Fateh Sdn Bhd dan GIS Entertainment & Events, dengan Infinity Love Creative Ventures (ILCV Events) sebagai penganjur bersama ini adalah sesuatu yang unik.
Ia kerana nama ‘RadjaWali’ membawa aura tersendiri iaitu sedap disebut dan padat dengan makna gabungan dua kuasa besar muzik Nusantara yang masing-masing memiliki kelompok peminat setia di Malaysia.
Konsert ini menjanjikan satu malam luar biasa yang bakal menggetarkan jiwa peminat dengan persembahan bertenaga, penuh emosi dan nostalgia daripada mereka.
Radja yang dianggotai oleh Ian Kasela (vokal), Moldy (gitar utama), Indra Riwayat (bass) dan Seno Aji Wibowo (dram) mengakui tidak sabar untuk bertemu peminat di negara ini.
“Kami tahu lagu-lagu seperti Jujur, Tulus, Bulan dan Cinderella diminati peminat sehingga hari ini. Jadi semestinya Malaysia selalu dekat di hati kami.
“Malah kami tidak pernah melupakan peminat di sini. Ia satu impian yang menjadi kenyataan apabila kami diundang untuk beraksi semula di Malaysia.
“Kami janji akan memberikan persembahan terbaik buat semua yang hadir nanti,” kata Ian Kasela mewakili rakan-rakannya.
Kumpulan Wali pula dianggotai oleh Faank (vokalis utama), Apoy (gitar utama & komposer), Ovie (keyboard) dan Tommy (dram).
Wali yang popular dengan lagu Cari Jodoh, Baik-Baik Sayang, Yunk, Doaku Untukmu Sayang dan Tomat (Tobat Maksiat) pula menganggap Malaysia ibarat rumah kedua mereka.
“Syukur…kami sentiasa dirindui oleh peminat di sini dan kedatangan kami sentiasa dialu-alukan. Begitu juga kami yang merindui sambutan mesra dan juadah enak di Malaysia. Untuk konsert kali ini, kami akan tampil dengan persembahan berbeza daripada sebelumnya,” kata Faank mewakili anggota lain.
Tiket untuk menyaksikan konsert ini yang berharga dari RM377 hingga RM977 boleh didapati menerusi Fantopia.io
© New Straits Times Press (M) Bhd




