harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pasukan dan unit khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) di tahap 100 peratus bersedia bagi mengawal keselamatan delegasi berprofil tinggi termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di ibu negara, minggu hadapan.
Timbalan Pengarah (Gerakan/Operasi) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Fisol Salleh mengingatkan hampir 10,000 anggota dan pegawai yang bertugas kelak agar tidak mengambil mudah tugasan masing-masing.
Menurutnya, setiap seorang daripada kakitangan terbabit termasuk ketua polis daerah, ketua jabatan, komander serta penyelia perlu faham penugasan masing-masing dengan sepenuhnya.
“Lebih 10,000 pegawai dan anggota yang terlibat dalam penugasan ini telah melaporkan diri dan akan memulakan penugasan di lokasi masing-masing dalam tempoh satu hingga dua hari lagi.
“Pada persidangan yang bermula pada awal tahun, setiap kontinjen ini terbabit. Jadi saya rasa untuk penugasan ini (Sidang Kemuncak ASEAN ke-47) tidak jadi isu… yang penting tuan-tuan dan puan-puan mesti fokus.
“Kita ada negara-negara kuasa besar, seperti antaranya Presiden Trump akan hadir, serta dari India, dan China,” katanya pada Taklimat Penugasan PDRM Sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, di sini, hari ini.
Pada masa sama Fisol menasihatkan orang awam yang tiada urusan penting supaya tidak masuk ke ibu negara bagi mengurangkan kesesakan trafik.
Katanya, ibu negara tidak ditutup sepenuhnya atau ‘lockdown’ seperti yang dilaporkan sebelum ini dan orang ramai masih dibenarkan masuk sekiranya ada urusan yang benar-benar penting seperti untuk ke hospital.
© New Straits Times Press (M) Bhd




