mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Bahagian Pengurusan Rekod dan Maklumat (BPRM) yang beroperasi di bawah sektor operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memainkan peranan penting melindungi sistem maklumat suruhanjaya itu daripada diceroboh atau disabotaj.
Pengarah BPRM SPRM, Norkhafizin Isa berkata, dalam dunia penyiasatan rasuah yang penuh risiko, tumpuan masyarakat lazimnya terarah kepada kejayaan tangkapan, siasatan berprofil tinggi dan perbicaraan di mahkamah.
Menurutnya, tidak ramai menyedari bahawa kejayaan besar itu mustahil tercapai tanpa satu pasukan yang bekerja di belakang tabir mengawal, menyusun dan melindungi nadi utama setiap kes iaitu maklumat.
“Bahagian ini bukan sekadar sebuah unit pentadbiran biasa namun menjadi benteng dalam memastikan setiap maklumat daripada aduan awam hinggalah dokumen rahsia negara disaring, disimpan dan disalurkan mengikut protokol yang paling ketat.
“Setiap hari, ratusan maklumat masuk ke SPRM melalui pelbagai saluran seperti portal aduan, aplikasi mudah alih MACC Mobile, surat rasmi, emel, panggilan telefon dan secara terus daripada pemberi maklumat namun bukan semua maklumat itu boleh terus disiasat.
“Prosesnya bermula di BPRM, tempat maklumat itu ditapis menggunakan Complaints Management System (CMS) dinilai tahap kesahihannya dan dibawa ke peringkat tertinggi melalui Mesyuarat Jawatankuasa Menilai Maklumat (JMM),” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, selepas penelitian yang rapi, maklumat dan aduan diterima akan diklasifikasikan sebagai tindakan SPRM, dirujuk ke jabatan lain atau dikategorikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Katanya, BPRM tidak hanya bergantung pada perisian keselamatan tetapi membangunkan ekosistem pertahanan menyeluruh Multi-Factor Authentication (MFA), firewall berkapasiti tinggi, pemantauan masa nyata, sistem enkripsi dan ujian keselamatan aplikasi sebelum digunakan.
“Bayangkanlah, secara purata terdapat kira-kira 80,000 hingga 90,000 percubaan pencerobohan siber dikesan setiap hari terhadap sistem penyimpanan ini.
“Satu statistik yang cukup besar untuk menggambarkan betapa tingginya nilai maklumat yang disimpan,” katanya.
Katanya, pengurusan maklumat bukan sekadar berkaitan sistem dan prosedur tetapi suatu amanah yang mempertaruhkan nyawa, keadilan dan kepercayaan rakyat.
“Satu kebocoran maklumat mampu menggagalkan siasatan, menjejaskan keyakinan saksi malah mengancam keselamatan negara.
“Oleh itu, disiplin, pematuhan terhadap arahan keselamatan dan kecekapan teknologi menjadi asas yang memastikan integriti suruhanjaya terus terpelihara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




