Syarikat mohon maaf kerana minta sijil cuti sakit pramugari yang meninggal dunia

Syarikat mohon maaf kerana minta sijil cuti sakit pramugari yang meninggal dunia

Taipei: Sebuah syarikat penerbangan di Taiwan memohon maaf selepas meminta dokumen cuti daripada seorang pramugari selepas kematiannya, sekali gus mencetuskan kemarahan orang ramai.

BBC melaporkan, pramugari Eva Air berusia 34 tahun itu, dikenali dengan nama Sun, meninggal dunia awal bulan ini selepas dilaporkan berasa tidak sihat ketika dalam penerbangan.

Beberapa hari selepas kematiannya, pihak syarikat menghantar mesej kepada telefon Sun meminta bukti bahawa dia sudah memohon cuti ketika berada di hospital.

Kematian Sun mencetuskan kemarahan netizen di Taiwan susulan dakwaan bahawa dia dipaksa bekerja walaupun dalam keadaan tidak sihat.

Dalam pada itu, pihak berkuasa dan syarikat penerbangan itu kini menyiasat sama ada Sun dinafikan bantuan perubatan atau digalakkan supaya tidak mengambil cuti sakit.

Dalam kenyataan kepada BBC, syarikat itu berkata, mereka sudah berhubung dengan keluarga Sun ketika beliau dirawat di hospital dan ‘amat berdukacita’ atas pemergiannya.

“Kesejahteraan dan keselamatan pekerja serta penumpang adalah keutamaan kami,” kata syarikat itu sambil menambah bahawa siasatan dalaman sedang dijalankan.

Sun dilaporkan berasa tidak sihat pada 24 September ketika penerbangan dari Milan ke Taoyuan, Taiwan, sebelum dimasukkan ke hospital sebaik tiba dan meninggal dunia pada 8 Oktober.

Beberapa pengguna media sosial yang mendakwa rakan sekerjanya menuduh syarikat itu memaksa Sun terus bekerja walaupun dia mengadu tidak sihat.

Hospital Universiti Perubatan China di Taichung, tempat Sun meninggal dunia, belum mendedahkan punca kematiannya secara rasmi.

Rekod penerbangan menunjukkan Sun bekerja purata 75 jam sebulan dalam tempoh enam bulan terakhir, iaitu masih dalam had ditetapkan pihak berkuasa.

Difahamkan, Sun mula berkhidmat dengan syarikat itu pada 2016 dan keluarganya mendakwa syarikat menghantar mesej meminta dokumen cuti beberapa hari selepas kematiannya.

Sementara itu, presiden syarikat penerbangan terbabit, Sun Chia-Ming berkata, mesej itu dihantar akibat ‘kesilapan dalaman’ dan pihaknya sudah memohon maaf secara peribadi kepada keluarga mangsa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top