Remaja cedera dipercayai dilibas objek tajam ketika bonceng motosikal

Remaja cedera dipercayai dilibas objek tajam ketika bonceng motosikal

am@hmetro.com.my

Melaka: Remaja perempuan cedera di pinggang dipercayai dilibas dengan objek tajam oleh lelaki tidak dikenali ketika membonceng motosikal di Jalan Tangga Batu berhadapan Taman Tangga Batu Seksyen 1, di sini, petang tadi.

Difahamkan, dalam kejadian 4.45 petang itu, mangsa berusia 19 tahun dalam perjalanan pulang ke rumah di Batu 9 Tangga Batu dengan membonceng motosikal yang ditunggang oleh kakak iparnya.

Kedua-duanya bekerja di kilang sarung tangan berhampiran.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika dalam perjalanan itu kakak ipar mangsa tidak menyedari mana-mana individu mengekori mereka.

“Namun, mangsa secara tiba-tiba memberitahu sakit di bahagian belakang dan meminta untuk berhenti di tepi jalan.

“Ketika itulah kakak ipar mangsa melihat sebuah motosikal jenis Yamaha LC V8 berwarna biru gelap yang ditunggang lelaki tidak dikenali, juga memakai jaket warna gelap serta topi keledar biru memecut laju selepas kejadian berlaku,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, mangsa kemudian dibantu orang awam dan dihantar ke Hospital Melaka dengan ambulans, serta dilaporkan stabil.

“Doktor memaklumkan mangsa mengalami luka pada belakang pinggang sepanjang tujuh sentimeter dan lebar tiga sentimeter,” katanya.

Menurutnya, pakar perubatan turut memaklumkan kecederaan mangsa tidak seperti luka tikaman, sebaliknya dilibas objek yang tajam, selain berdasarkan koyakan pada baju mangsa yang panjang.

Christopher berkata, setakat ini polis masih menyiasat motif serangan itu dan sedang mengesan suspek.

“Mangsa berasal dari Tangkak, Johor memaklumkan tiada perselisihan faham dengan mana-mana individu malah tidak mempunyai kenalan di Melaka.

“Dia baru kira-kira tiga minggu datang ke negeri ini untuk bekerja di syarikat pembuatan sarung tangan,” katanya memaklumkan kes itu diklasifikasikan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi pegawai penyiasat kes di talian 011-2638 3960.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top