Saadiah_ismail@bh.com.my
Kuala Lumpur : Lonjakan lebih 11 juta paparan di platform OpenDOSM membuktikan bahawa masyarakat semakin selesa menggunakan data rasmi dalam kehidupan harian bagi menggantikan andaian dengan bukti berasaskan angka.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam satu kenyataan berkata, usaha memperkukuh literasi statistik dalam kalangan rakyat kini membuahkan hasil yang nyata kerana masyarakat semakin celik statistik dan menjadikan data sebagai alat memahami isu dan realiti sosial.
Menurut DOSM, sehingga 14 Oktober lalu, portal ini sudah mencatat lebih 11.7 juta paparan dengan purata harian sebanyak 13,600 paparan, manakala penerbitan dan set data dimuat turun secara konsisten dengan jumlah masing-masing mencecah 204,000 dan 233,000.
“Angka-angka ini membuktikan peningkatan ketara dalam penggunaan statistik rasmi oleh pelbagai pihak bagi tujuan membuat keputusan berasaskan bukti, penyelidikan serta penciptaan inovasi sosial.
“Fenomena ini menunjukkan bahawa rakyat kini semakin bergantung kepada data yang sahih dalam menjalani kehidupan harian dan membentuk masa depan negara yang berasaskan maklumat,” menurut kenyataan DOSM, hari ini.
Terdahulu, sambutan Hari Statistik Negara Dan Sedunia 2025 (HSN) diadakan di Lipis, Pahang bertemakan Statistik Nadi Kehidupan.
Manakala tema global ialah ‘Quality Statistics and Data for Everyone’ dengan slogan ‘Driving Change with Quality Statistics and Data for Everyone,’ selari dengan usaha memperkukuh sistem statistik yang berkualiti, inklusif dan berimpak tinggi demi kesejahteraan rakyat.
DOSM berkata, HSN kini menjadi simbol ‘data turun padang’ selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya data granular peringkat daerah dimanfaatkan untuk membentuk dasar yang lebih bersasar serta menyokong komuniti setempat.
“DOSM turut memberi penekanan kepada ekuiti data dengan memastikan masyarakat luar bandar dan FELDA mendapat akses kepada maklumat rasmi negara.
“Budaya data ini terus disemai melalui pelbagai inisiatif seperti debat statistik, pengucapan awam dan datathon belia.
“Portal OpenDOSM pula berperanan sebagai pintu hadapan rakyat kepada data rasmi yang mudah, percuma dan telus.
“Dalam masa yang sama, sejajar dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN Sistem Statistik Komuniti ASEAN (ACSS) bagi tahun 2025, negara akan menganjurkan dan mempengerusikan ACSS Ke-15 serta Forum Perangkaan ASEAN Pertama 2025 pada 3 hingga 7 November ini di Melaka,” katanya kenyataan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




