am@hmetro.com.my
Kuantan: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang menerima 11 kes kecemasan ketika melakukan aktiviti mendaki gunung dan bukit di negeri itu sepanjang tempoh 1 Januari hingga 31 Ogos lalu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, berdasarkan statistik itu, sebanyak empat kes berlaku di gunung manakala, tujuh kes di bukit, keseluruhannya yang membabitkan 21 individu.
Katanya, daripada jumlah individu itu, empat mangsa mengalami kecederaan, masing-masing seorang di Gunung Buah Genting dan Gunung Jasa di Cameron Highlands serta Bukit Seladang dan Gunung Tahan di Jerantut.
“Seramai 17 individu pula sesat ketika melakukan aktiviti mendaki. Sepanjang tempoh itu, tiada kematian direkodkan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Bagi memastikan keselamatan ketika pendakian, beliau menasihati semua pendaki terutama yang melakukannya secara berkumpulan supaya bergerak dan kekal dalam kumpulan.
Katanya, persediaan dan perancangan perlu dilakukan bersama terutama mengetahui tahap keupayaan diri dan kumpulan, selain memilih laluan yang sesuai dengan tahap kecergasan dan pengalaman ahli kumpulan.
“Panduan lain yang perlu diberikan penekanan ialah komunikasi dan disiplin iaitu bergerak dengan kelajuan yang seragam. Sebarang kecederaan, keletihan melampau atau masalah kesihatan perlu segera dilaporkan kepada ketua kumpulan.
“Selain itu, semua ahli mesti mematuhi arahan ketua kumpulan dan mengelak mengambil risiko berlebihan seperti bergambar di tebing curam.
“Pendaki juga perlu memakai pakaian dan kasut yang sesuai serta bersedia untuk perubahan cuaca,” katanya.
Nasihatnya, kerjasama, komunikasi yang berkesan, disiplin dan sikap saling membantu antara ahli kumpulan adalah kunci utama untuk menjamin keselamatan dan kejayaan setiap pendakian.
© New Straits Times Press (M) Bhd




