mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Saya tak sangka lagu Bintang yang dihasilkan pada 2002 kembali popular dan tular,” kata Zack yang juga vokalis kumpulan Budak Kacamata.
Zack atau nama sebenarnya, Zulkifli Saadan, 47, berkata lagu yang dihasilkan untuk album ketiga berjudul Kompilasi Budak Kacamata menjadi siulan dan trending di media sosial.
“Ada empat lagu baru dan selebihnya lagu lama dengan Bintang antara lagu yang dimuatkan. Ia sebenarnya terilham selepas saya putus tunang.
“Tapi taklah sampai saya ambil gitar nak buat lagu ke apa? Cuma tiba-tiba saya dapat ilham cipta lagu itu, saya pegang gitar dan tiba-tiba dia (ilham) terus keluar saja.
“Dalam 20 hingga 25 minit… siaplah. Saya bertunang dekat setahun lebih, sudah hampir nak kahwin tapi tiada jodoh. Tak berapa lama selepas itu dapatlah ilham lagu ini,” katanya.
Katanya, selepas lebih 20 tahun berlalu, dia terbayang wajah arwah ibunya apabila menyanyikan lagu Bintang.
“Ia sudah terbalik, jadi lagu untuk arwak mak saya pula. Mak saya meninggal dunia pada 2023. Apabila mak meninggal dunia, saya ada show lalu nyanyi lagu Bintang.
“Saya dah lama tak menyanyi, jadi terus nampak muka (arwah) mak saya. Terdetik dalam hati, eh lagu ini untuk mak aku sebenarnya, sebab saya nyanyi lagu itu tak terbayang pun kat (bekas) tunang saya.
“Saya hanya menyanyi saja untuk dapatkan ‘feel’, tapi bila mak sudah tiada, nampaklah cerita lagu itu yang sebenarnya cerita dia (arwah mak). Ia lebih luar biasa pula tiba-tiba,” katanya.
Pada masa sama, Zack berkata, dia sebenarnya ingin tampil dengan single terbaru dan mencari strategi untuk dikenali semula peminat.
“Saya pernah cuba masuk Gegar Vaganza tapi tak berjaya. Tak sangka dengan izin Allah, tiba-tiba lagu ini meletup, sekali gus memudahkan saya untuk muncul kembali.
“Orang dah kenal saya, mudah sikit nak ‘push’ lagu baharu. Yang mula-mula saya nampak, dia sebenarnya sudah popular setahun yang dulu.
“Ramai orang dan kawan-kawan call beritahu lagu (Bintang) ini keluar kat mana-mana sahaja, tapi tak adalah sepopular seperti sekarang ini. Dia macam zaman kita dulu, lagu Isabella,” katanya.
Menurutnya, populariti lagu ini sampai ke London, China, Indonesia dan banyak negara lagi.
“Lagu ini makin orang dengar, makin orang suka. Jadi, banyak pihak macam Geng RXZ pakai. Mereka yang banyak ‘support’ lagu ini.
“Selepas itu Apek Tajuddin pula buat cover. Sebelum ini orang banyak pakai untuk kematian. Podcast Dol’s pun ‘support’ juga. Shuib dan Mamat cakap lagu ini… kematian
“Maka orang pakai pula (lagu Bintang) untuk kematian. Selepas ini saya akan keluar album solo tapi dimulakan dengan single terlebih dahulu di bawah label sendiri,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



