Kes tikam pelajar: Polis mohon lanjutan reman pelajar lelaki

Kes tikam pelajar: Polis mohon lanjutan reman pelajar lelaki

harisfadli@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Polis akan memohon lanjutan reman pelajar lelaki berusia 14 tahun yang disiasat berhubung kematian pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di Bandar Utama di sini, 14 Okt lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, permohonan itu akan dibuat sejurus tahanan reman ke atas remaja lelaki itu tamat esok.

“Permohonan reman kali kedua akan dibuat 8 pagi esok di Mahkamah Majistret Petaling Jaya dan kertas siasatan dijangka dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya pada lusa (Rabu) untuk arahan lanjut.

“Rakaman percakapan saksi setakat ini seramai 148 orang,” katanya dalam satu kenyataan ringkas di sini, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan, pelajar lelaki berusia 14 tahun yang didakwa menikam pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama direman tujuh hari bermula 15 Oktober.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

Sebelum itu, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut ditikam suspek dalam di dalam tandas perempuan sekolah itu. Polis melaporkan mangsa cedera di bahagian badan dengan beberapa kesan tikaman dipercayai menggunakan senjata tajam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top