Guardiola yakin benam Villarreal

Guardiola  yakin benam Villarreal

Villarreal: Kemampuan Manchester City untuk bangkit daripada keputusan buruk membuatkan jurulatih Pep Guardiola sangat yakin menjelang aksi menentang Villarreal awal pagi esok ketika mereka berusaha kembali memburu kemenangan dalam Liga Juara-Juara (UCL) selepas diikat oleh AS Monaco awal bulan ini.

City memulakan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan hambar selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut pada Ogos, namun pasukan bimbingan Guardiola kini tidak tewas dalam lapan perlawanan dalam semua pertandingan dan kini berada di kedudukan kedua liga, tiga mata di belakang Arsenal.

Juara Liga Juara-Juara 2023 itu mengumpul empat mata daripada dua perlawanan setakat ini dan berada di tempat kelapan dalam saingan benua itu.

“Kami baru bermain lapan perlawanan EPL dan dua perlawanan UCL. Tapi anda boleh rasakan setiap perlawanan adalah lebih baik daripada yang sebelumnya,” kata Guardiola kepada pemberita, semalam.

“Ia belum menentukan musim ini, tetapi kami sering berbincang tentang apa yang boleh kami perbaiki. Saya sangat yakin dengan pemain-pemain ini dan pasukan ini, mereka memang berkemampuan.”

Pemain tengah City, Nico Gonzalez, turut menyokong kenyataan pengurusnya.

“Anda boleh lihat dalam sebulan, sebulan setengah yang lalu, ada satu perasaan yang berbeza. Semuanya berjalan lancar dan sekarang saya rasa kami boleh lakukan sesuatu yang hebat,” kata bekas pemain Barcelona itu.

Guardiola turut menambah beliau menjangkakan perlawanan sukar menentang pasukan bimbingan Marcelino, walaupun Villarreal kini berada di tangga ke-26 carta Liga Juara-Juara dengan hanya satu mata daripada dua perlawanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top