am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) memohon kerjasama Bank Negara melakukan siasatan terhadap skim pelaburan pulangan sewa terjamin (GRR) didakwa tidak sah hingga memperdayakan puluhan mangsa.
Setiausahanya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya sebelum ini menerima aduan daripada 69 mangsa membabitkan kerugian RM 43.7 juta selepas mendakwa diperdaya syarikat yang menawarkan GRR dan dimanipulasi untuk membeli unit projek pihak berkenaan.
Menurutnya, terma berkaitan GRR didakwa tidak dimasukkan ke dalam mana-mana perjanjian yang ditandatangani peserta sebelum menyertai dan membeli unit dalam projek pembangunan hartanah yang ditawarkan oleh pihak syarikat berkenaan.
“Apabila perkara ini dibangkitkan kepada pihak syarikat, maklum balas yang diterima lebih bersifat penjelasan umum dan bersifat neutral, tanpa sebarang pengesahan terperinci mengenai isu dikemukakan.
“Pada September lalu, mangsa membuat laporan rasmi kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk tindakan lanjut kerana jika dilihat pada dasar skim, ia menyerupai skim kepentingan seperti diperuntukkan mengikut Seksyen 4 (2) Akta Skim Kepentingan 2016.
“Bagaimanapun, hingga kini mangsa mendakwa belum menerima sebarang perkembangan terkini atau makluman awal daripada pihak berkenaan,” katanya pada sidang media sebelum menyerahkan aduan rasmi berhubung perkara itu kepada Bank Negara, di sini hari ini.
Hishamuddin berkata, susulan itu mangsa terbabit mahu membuat aduan rasmi kepada Bank Negara berhubung perkara berkenaan.
“Ini adalah kerana seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini, skim penawaran dan janji pulangan sewa yang terjamin (GRR) disyaki tidak dikawal selia oleh mana-mana pihak penguatkuasaan.
“Oleh itu, semua mangsa mengambil inisiatif untuk membuat laporan kepada semua agensi penguatkuasaan berkaitan untuk meneroka akta yang dikawal selia supaya siasatan menyeluruh dapat dilakukan mengenai skim GRR berkenaan,” katanya.
Katanya, tindakan itu bukan untuk menyusahkan mana-mana agensi berkaitan tetapi ia untuk memohon perlindungan serta hak keadilan mangsa dapat ditegakkan sepertimana yang termaktub mengikut Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Sementara itu, seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ling, 33, berkata, dia melabur dalam skim berkenaan sejak lima tahun lalu bersama kakaknya namun kini pelaburan yang difikir boleh membantu masa depan mereka kini menjeratnya dengan tekanan.
“Kami merayu kepada Bank Negara dan pihak berkuasa berkaitan, untuk membantu melakukan siasat perkara ini. Kami mahu tahu adakah operasi syarikat itu sah, dan adakah sistem ini benar-benar dikawal selia dengan betul,” katanya.
Seorang lagi mangsa dikenali sebagai Tommy, 35, berkata, dia melihat iklan projek berkenaan di media sosial pada 2021 sebelum menyertainya kerana tertarik dengan tawaran dijanjikan.
“Kemudian saya difahamkan oleh pihak profesional yang skim GRR mungkin perlu didaftarkan dengan SSM. Semua info ini menimbulkan keraguan dalam diri saya sama ada semua tawaran sebelum ini benar-benar berdaftar dan sah di sisi undang-undang.
“Saya berharap pihak berkuasa seperti Bank Negara dapat menyiasat projek ini, supaya hak dan kepentingan pelabur lebih terlindung,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, MHO menggesa pihak berwajib, khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SSM untuk menyiasat dakwaan mangsa pelaburan GRR.
Hishamuddin dilapor berkata, nilai pelaburan hartanah terbabit mencecah RM43.7 juta yang mendakwa tidak mendapat pulangan seperti yang dijanjikan, selain terpaksa menanggung hutang daripada pembelian unit hartanah pelaburan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




