Tragedi Gunung Liang: 2 malim gunung digantung tugas sementara

Tragedi Gunung Liang: 2 malim gunung digantung tugas sementara

am@hmetro.com.my

Kuantan: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menggantung sementara tugas dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) yang terbabit dengan Ekspedisi Trans Temangkok Gunung Liang, Tanjung Malim, Perak minggu lalu.

Tindakan berkenaan bagi menjalankan siasatan menyeluruh bersama beberapa agensi berkaitan bagi meneliti punca sebenar kejadian menimpa seorang pendaki, Mustaqqeem Mansor, 34, di puncak Gunung Liang.

Timbalan Pengarah (Pembangunan) JPNP, Mohd Yussainy Md Yusop berkata, beliau sudah mengadakan pertemuan dengan dua malim gunung berkenaan kelmarin.

Katanya, laporan lengkap akan dibentangkan kepada Ketua Pengarah Perhutanan Malaysia untuk tindakan lanjut.

“Semua pihak yang terbabit termasuk pendaki, penganjur serta dua MGP yang mengiringi kumpulan sembilan pendaki akan dipanggil bagi memberi keterangan sebelum sebarang keputusan diambil.

“Tindakan itu perlu bagi memastikan setiap pihak diberi peluang memberi penjelasan dan bagi mengelak sebarang prejudis terhadap mana-mana individu yang terlibat.

“Dalam pada itu, kita memutuskan untuk mengantung sementara tugas dua MGP terbabit bagi memberi kerjasama kepada pihak berkuasa seperti polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta jabatan perhutanan melakukan siasatan secara menyeluruh,” katanya, di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi MGP Malaysia berkata, statistik menunjukkan lebih 200 kes kecemasan pendakian dilaporkan setiap tahun seluruh negara dengan purata 10 hingga 11 kes kematian, namun hanya satu atau dua kes membabitkan malim gunung yang aktif.

Mohd Yussainy berkata, kebanyakan insiden berpunca daripada pendakian tanpa permit sah, kurang persediaan fizikal serta trend baharu pendakian ekstrem termasuk aktiviti mendaki dan berlari di laluan gunung pada waktu malam.

Beliau berkata, beliau, selepas siasatan selesai jabatan akan menilai semula keseluruhan prosedur keselamatan, termasuk penggunaan teknologi pengesanan atau cip lokasi bagi memperkukuh sistem pemantauan di laluan gunung berisiko tinggi.

“Kita akan tengok dari aspek pengurusan risiko, kelemahan, prosedur dan pelanggaran peraturan yang mungkin berlaku.

“Semua itu akan dijadikan asas bagi tindakan pembetulan dan penambahbaikan di peringkat jabatan.

“Langkah berkenaan penting bagi menyelesaikan isu sistemik, bukan sekadar mencari kesalahan individu, selain memastikan tragedi seumpama tidak berulang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top