mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Larian Harian Metro Active Rings Kuala Lumpur 2025 pada 9 November ini dijangka menjadi tumpuan warga kota dan peminat aktiviti kecergasan dari seluruh negara, apabila acara sejauh 5 kilometer itu bukan sekadar medan berlari, tetapi juga platform untuk merapatkan hubungan kekeluargaan dan komuniti bandar.
Bertempat di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), acara yang bermula seawal jam 7 pagi itu menampilkan konsep gaya hidup sihat dan santai yang sesuai disertai semua peringkat umur, menjadikannya antara acara riadah paling menyeronokkan anjuran Harian Metro dan Print Towers Sdn Bhd tahun ini.
Program ini meneruskan kesinambungan kejayaan Harian Metro Batik Run yang sebelum ini berjaya menarik ribuan penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Kali ini, Active Rings Run tampil dengan tema lebih segar dan interaktif untuk menggalakkan masyarakat kekal aktif dan cergas dalam kehidupan seharian.
Selain aktiviti larian, peserta berpeluang menyertai pelbagai aktiviti sampingan menarik seperti pameran kecergasan, sesi interaktif kesihatan, dan ruang bergambar eksklusif yang disediakan khas di kawasan acara.
Ia bukan sahaja medan riadah, tetapi juga ruang sosial yang mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan persahabatan.
Menurut penganjur, acara kali ini turut menampilkan Huawei Watch GT 6 Series sebagai rakan rasmi, di mana Active Rings yang menjadi fungsi utama jam tangan pintar berkenaan akan membantu peserta memantau kadar degupan jantung, tahap kesihatan serta prestasi senaman sepanjang acara berlangsung.
Menariknya, pelbagai hadiah tajaan Huawei turut ditawarkan kepada peserta bertuah termasuk Huawei Watch GT 6 Pro (46mm) sebagai hadiah utama, Huawei Watch GT 6 (41mm) bagi tempat kedua, serta Huawei Freebuds 6i untuk dua pemenang lain yang menampilkan kualiti bunyi premium bagi gaya hidup aktif.
Dengan yuran penyertaan RM45, setiap peserta akan menerima jersi rasmi eksklusif serta pingat edisi khas yang direka dengan simbolik Menara Berkembar Petronas, tanda penghargaan kepada semangat aktif warga kota yang menyertai acara ini.
Penyertaan kini dibuka dan tempat adalah terhad. Orang ramai boleh mendaftar dengan mengimbas kod QR pada poster rasmi atau melalui pautan media sosial Harian Metro, selain terus ke laman web rasmi: https://www.ticket2u.com.my/event/46537/harian-metro-active-rings-run-2025.
© New Straits Times Press (M) Bhd




