6,000 sertai Kejohanan KBS Masters Games

6,000 sertai Kejohanan KBS Masters Games

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kejohanan KBS Masters Games 2025 berjaya menarik lebih 6,000 peserta sekali gus membuktikan golongan dewasa dan warga emas masih menunjukkan minat tinggi untuk bersukan sebagai gaya hidup sihat.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, penganjuran kejohanan itu mencerminkan komitmen Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam merealisasikan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai Negara Sukan untuk semua peringkat umur dan bukan hanya terhad kepada atlet berprestasi tinggi.

“Inisiatif berkenaan bertujuan menggalakkan penglibatan aktif golongan dewasa dan warga emas dalam mengekalkan kesihatan fizikal serta kesejahteraan mental, sejajar dengan usaha memperkukuh kesejahteraan komuniti menjelang status Malaysia sebagai negara menua pada 2048.

“KBS menegaskan bahawa pembudayaan sukan perlu dijadikan amalan berterusan bagi memastikan masyarakat kekal sihat dan aktif.

“Melalui pendekatan itu, isu kesihatan seperti obesiti, diabetes dan penyakit jantung dapat dicegah selaras dengan prinsip ‘mencegah lebih baik daripada merawat’,” katanya pada majlis perasmian di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha KBS, Dr K Nagulendran dan Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin.

Kejohanan yang berlangsung dari 24 hingga 26 Oktober ini di sekitar Lembah Klang dan Putrajaya menampilkan 23 acara sukan dan melibatkan peserta berusia antara 40 hingga 60 tahun.

Antara acara yang dipertandingkan termasuk hoki, akuatik, berbasikal, bola sepak, boling padang, boules, catur, e-sukan, sepak takraw dan lain-lain.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top