am@hmetro.com.my
Pontian: Polis membuka siasatan berhubung satu kejadian tular membabitkan pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik pada sebuah kenderaan di Pekan Nanas, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, pihaknya mengesan satu hantaran di media sosial yang memaparkan Jalur Gemilang dipasang terbalik pada sebuah Toyota Avanza yang diparkir di hadapan sebuah kedai perabot di Jalan Besar di pekan Nanas.
“Kejadian seperti itu sekali gus menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat yang melalui di jalan berkenaan.
“Bagaimanapun pemilik kenderaan terbabit memberi kerjasama sepenuhnya sepanjang siasatan awal di lokasi sama dan tindakan segera bagi membetulkan kedudukan Jalur Gemilang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan, tindakan memasang Jalur Gemilang secara terbalik boleh menimbulkan salah faham dan menjejaskan sensitiviti rakyat Malaysia.
Sehubungan itu, katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
“Polis menasihatkan semua agensi, premis perniagaan dan individu supaya memastikan pemasangan Jalur Gemilang dilakukan mengikut tatacara dan protokol yang betul sebagai tanda penghormatan kepada kedaulatan negara,” katanya.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian di talian 07-6871222 atau balai polis berhampiran.
© New Straits Times Press (M) Bhd




