mohamadridzuan@hmetro.com.my
Istilah healing atau pemulihan diri begitu sinonim dikaitkan dengan masyarakat sekarang kerana terma itu digunakan secara meluas di mana-mana sahaja.
Malah, ia turut mencetuskan idea untuk penganjuran konsert berskala besar Healing Night 2026 yang dijadual berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 24 Januari 2026.
Konsert anjuran Kembar Nusantara Sdn Bhd dengan sokongan Creative Page Sdn Bhd dan Yumeca Sdn Bhd, bakal menyatukan lima penghibur ternama dari Malaysia dan Indonesia di bawah satu pentas.
Ia menampilkan barisan penghibur hebat seperti Anuar Zain, Ella dan Dayang Nurfaizah dari Malaysia, manakala Kangen Band serta Lyodra dari Indonesia.
Ketua Pegawai Eksekutif Yumeca Herman Aziz, berkata konsep healing diterapkan bagi mengangkat muzik sebagai terapi yang mampu menyentuh hati dan memberi ketenangan.
“Selepas pandemik, ramai memilih fasa pemulihan diri dengan pelbagai cara, namun kami percaya muzik adalah medium terbaik untuk proses healing kerana ia menyatukan manusia melalui emosi dan semangat positif.
“Healing Night 2026 bukan sekadar konsert biasa tetapi pesta muzik yang memberi ketenangan jiwa kepada mereka yang hadir,” katanya.
Selain persembahan artis, Healing Night 2026 tampil dengan kelainan menerusi elemen unik seperti reka bentuk pentas berkonsepkan kesejahteraan, ruang rehat khas dan aktiviti bertema seperti healing.
Herman berkata, pihaknya gembira penganjuran konsert ini turut menerima sokongan penuh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“Pihak terbabit melihat ini sebagai inisiatif memperkukuh hubungan serantau antara Malaysia dan Indonesia serta mempromosikan budaya negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Sementara itu, Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Shaharudin Abu Sohot, berkata konsert ini memainkan peranan penting dalam memperkenalkan keunikan seni dan budaya Malaysia ke peringkat antarabangsa.
“Konsert ini membuktikan keupayaan syarikat tempatan mengetuai acara berskala besar bertaraf dunia selain memperkukuh semangat perpaduan budaya antara dua negara serumpun,” katanya.
Dalam pada itu, barisan artis terbabit melahirkan perasaan teruja dapat beraksi dalam konsert mega di lokasi ikonik yang menjadi kebanggaan negara.
Ella berkata, penganjuran konsert ini sesuatu yang segar dan bermakna dalam dunia hiburan tempatan.
“Konsep Healing Night 2026 sangat istimewa kerana bukan hanya menekankan aspek hiburan, tetapi juga kesejahteraan mental dan emosi.
“Saya tidak sabar berkongsi pentas bersama Anuar Zain, Dayang Nurfaizah, Kangen Band dan Lyodra untuk memberikan pengalaman muzik yang berbeza,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



