Miami: Legenda bola sepak dunia, Lionel Messi, mengesahkan hasratnya untuk beraksi di Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada, namun mengakui bahawa usia dan tahap kecergasan akan menentukan sama ada impian itu menjadi kenyataan.
Pemenang lapan kali Ballon d’Or itu kini berusia 37 tahun dan bakal mencecah 39 tahun ketika kejohanan berlangsung, namun semangatnya untuk terus menyarung jersi Argentina masih membara.
Messi yang baru menyambung kontrak bersama Inter Miami hingga 2028 berkata kepada NBC News bahawa dia akan menilai kemampuannya tahun depan sebelum membuat keputusan muktamad.
“Adalah sesuatu yang luar biasa dapat bermain di Piala Dunia, dan saya sangat mahu beraksi,” katanya.”
“Saya mahu berada di sana, dalam keadaan baik dan menjadi sebahagian penting dalam membantu pasukan. Tapi saya akan menilai dari hari ke hari bila pra musim bermula dengan Inter, sama ada saya mampu berada di tahap 100 peratus dan berguna kepada pasukan.”
Messi, yang membawa Argentina menjuarai Piala Dunia 2022 di Qatar selepas menewaskan Perancis menerusi penalti, mengakui kejuaraan itu adalah impian terbesar dalam kariernya.
“Ia impian seumur hidup saya. Ia satu-satunya perkara yang belum saya capai di peringkat profesional,” katanya.
“Saya bernasib baik dapat memenangi segalanya bersama Barcelona, tapi impian setiap pemain bola sepak adalah menjadi juara dunia.”
Selepas dua dekad dalam karier profesional yang bermula di Barcelona pada 2004, Messi turut menyarung jersi Paris Saint-Germain sebelum mencetuskan fenomena di Liga Amerika (MLS) sejak menyertai Inter Miami pada 2023.
Kehadirannya bukan sahaja melonjakkan profil kelab itu, tetapi turut menghidupkan semula minat terhadap bola sepak di Amerika Utara menjelang penganjuran Piala Dunia 2026.
Setakat ini, Messi mewakili Argentina dalam 195 perlawanan dan menjaringkan 114 gol, dan sekiranya tampil di Piala Dunia 2026, ia bakal menjadi penyertaan keenamnya dalam kejohanan terbesar dunia itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




