harisfadli@hmetro.com.my
Shah Alam: Sebanyak 19 lori disita kerana membawa muatan berlebihan sehingga 50 peratus daripada berat dibenarkan menerusi Operasi Perang Lebih Muatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor bermula 14 Oktober hingga kelmarin.
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, secara keseluruhannya sebanyak 29,089 pelbagai jenis kenderaan diperiksa dalam operasi ini di seluruh Selangor.
“Kami komited melaksanakan operasi ini, malah ia dijalankan setiap hari bagi memastikan pemandu dan pengusaha kenderaan berat terbabit patuh pada undang-undang.
“Undang-undang dan garis panduan yang ditetapkan demi menjaga keselamatan kesemua pengguna jalan raya termasuk pemandu lori itu sendiri jadi ia perlu dipatuhi,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.
Menurutnya, dalam tempoh itu juga sebanyak 14,078 notis kompaun dikeluarkan.
Katanya, antara kesalahan tertinggi membabitkan kesalahan teknikal iaitu 1,743 kes, tiada lesen memandu barangan (GDL) sebanyak 1,122 kes; tiada lesen memandu kompeten (CDL) (1,017), cukai jalan tamat tempoh (1,121), dan lebih muatan (566) serta kesalahan lain.
© New Straits Times Press (M) Bhd




