Jakarta: Kementerian Kesihatan pada Selasa menggesa orang ramai agar mengambil langkah berjaga-jaga terhadap pendedahan mikroplastik berikutan penemuan zarah plastik dalam air hujan di seluruh ibu kota oleh para penyelidik.
Menterinya, Budi Gunadi Sadikin berkata, mikroplastik yang memasuki tubuh manusia boleh kekal untuk tempoh yang lama dan mungkin mendatangkan risiko kesihatan.
“Apabila mikroplastik memasuki badan, ia cenderung untuk berada di sana agak lama. Cara paling selamat untuk melindungi diri anda adalah dengan memakai pelitup muka semasa di luar,” katanya seperti yang dipetik oleh Metro TV News.
Beliau menasihatkan penduduk untuk mengelakkan aktiviti luar sejurus hujan reda dan menyeru usaha lebih giat bagi mengurangkan pencemaran plastik dari puncanya.
“Kita mesti kurangkan sumber pencemaran mikroplastik. Peranan pemerintah Jakarta amat penting,” ujarnya.
Gabenor Jakarta, Pramono Anung berkata, Agensi Penyelidikan dan Inovasi Nasional (BRIN) bersama Agensi Alam Sekitar bandar raya itu telah melaporkan penemuan berkenaan.
“Kami akan mengambil langkah segera berkaitan sisa plastik. Contohnya, kami akan mempercepatkan projek seperti loji sisa-ke-tenaga (PLTSa),” katanya.
Beliau turut menyatakan kualiti udara di ibu kota telah bertambah baik sejak beberapa hari lalu, serentak dengan Festival Larian Jakarta selama empat hari yang berakhir pada 26 Oktober.
“Sejak tiga hari lalu, bandar raya ini kelihatan hijau dan sangat bersih dan itulah keadaan kita sekarang,” tambahnya.
Kajian terkini BRIN mendapati zarah mikroplastik wujud dalam setiap sampel air hujan yang dikumpul di Jakarta sejak 2022, menunjukkan pencemaran bandar yang meluas.
Zarah-zarah ini berpunca daripada gentian pakaian sintetik, pelepasan asap kenderaan dan pembakaran terbuka, dengan purata kira-kira 15 zarah bagi setiap meter persegi sehari.
Ketua penyelidik, Muhammad Reza Cordova berkata, penemuan itu menunjukkan pencemaran plastik kini sudah sampai ke atmosfera.
“Plastik tidak lagi berakhir di lautan. Ia naik ke udara, bergerak bersama angin dan turun semula bersama hujan,” jelasnya, sambil menambah zarah mikroskopik itu boleh disedut atau ditelan, membawa potensi risiko kesihatan jangka panjang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




