Kuala Lumpur: Beberapa Ahli Parlimen memohon Lembaga Tabung Haji (TH) mempertimbangkan supaya individu berumur 60 tahun ke atas diberikan kelayakan automatik untuk menunaikan haji melalui pakej muassasah.
Dr Halimah Ali (PN-Kapar) berkata, sistem pendaftaran haji ketika ini memerlukan warga emas yang tidak tersenarai dalam giliran haji tahun semasa membuat rayuan dan jika permohonan diluluskan, perlu membayar bayaran haji penuh iaitu RM33,300.
“Kalau mereka (warga emas) ini nak merayu, mereka kena bayar lebih. Jadi apa yang dicadangkan Jempol (Datuk Shamshulkahar Mohd Deli) tak perlu untuk mereka rayu, beri kelulusan automatik apabila umur 60 tahun ke atas (dapat giliran haji) dan pergi dengan muassasah.
“Tak perlulah sampai kena tambah berbelas ribu, seperti T20,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau membangkitkan cadangan itu ketika Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berucap pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, Shamshulkahar turut meminta budi bicara TH untuk melakukan perubahan disifatkan perlu khususnya mengambil kira syarat kesihatan jemaah yang diperketatkan bermula musim haji tahun depan.
“Berilah keutamaan kepada warga emas tunai haji dahulu. Mungkin ada antara mereka lambat daftar (haji), mungkin sebab masa itu tak cukup syarat lagi.
“Jadi saya cadangkan TH bagi peluang, beri keutamaan kepada yang berumur 60 tahun ke atas sempurnakan fardu haji. Dalam kes tertentu, jika individu itu berumur 60 pada tahun ini, ada yang terpaksa tunggu giliran dijangka 15 tahun lagi, waktu itu usia mereka sudah 75 tahun, dengan keadaan sekarang (faktor kesihatan diperketat), macam mana mereka nak tunai haji,” katanya.
Menjawab cadangan dikemukakan itu, Mohd Na’im berkata, TH amat memahami hasrat dan harapan bakal haji terutama warga emas.
Katanya, setakat ini, TH berpegang kepada dasar sistem pendaftaran haji yang diperkenalkan sejak 1995 iaitu konsep ‘mendaftar dahulu, didahulukan’.
“TH komited untuk tidak menafikan hak mana-mana pendeposit yang memenuhi syarat istitoah untuk mengerjakan haji.
“Bagi individu yang didaftarkan di luar tahun haji semasa, boleh membuat permohonan rayuan untuk mengerjakan haji, yang mana permohonan rayuan ini dibuka setiap tahun,” katanya.
Justeru, katanya, TH akan mempertimbang dan meneliti setiap tawaran yang dipersetujui termasuk permohonan rayuan untuk menentukan senarai bakal jemaah haji bagi setiap tahun.
Katanya, bagi musim haji 1446H/2025M yang lalu, jumlah jemaah haji berusia 60 tahun ke atas yang terpilih adalah seramai 12,102 orang.
Ia mewakili hampir 40 peratus daripada jumlah keseluruhan jemaah haji tanah air.
“Ini jelas membuktikan TH bersifat terbuka dan prihatin terhadap permohonan daripada warga emas.
“Berkenaan (kelayakan automatik giliran haji warga emas berusia 60 tahun secara muasasah, tanpa melalui rayuan), pengurusan tertinggi TH ada di sini dan mereka mendengar (cadangan) ini,” katanya.
Untuk rekod, bagi musim haji 1447H/2026M, kadar bayaran haji ditetapkan kepada jemaah terpilih melalui proses rayuan ialah kos haji penuh sebanyak RM33,300.
Selain itu, untuk musim haji tahun depan, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan syarat kesihatan lebih ketat.
Antara syarat perlu dipatuhi untuk memperoleh visa adalah bebas daripada penyakit berjangkit, penyakit serius atau penyakit kronik tidak terkawal serta berupaya menjalankan ibadah haji sendiri.
© New Straits Times Press (M) Bhd




