'Tangisan Noah… saya nak bubu'

'Tangisan Noah… saya nak bubu'

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Gombak: Noah Iskandar Suhaimi baharu berusia enam tahun, namun sudah mengerti erti kehilangan orang tersayang meskipun tiada pertalian darah.

Melihat tangisan kanak-kanak itu atas pemergian pengasuhnya, ibu Noah Iskandar iaitu Nurul Najihah Md Zaki, 32, mengakui turut hiba, apatah lagi pengasuh yang dikenali Marliana Abdullah, 44, sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan keluarga mereka sejak 2021.

Nurul Najihah berkata, Marliana meninggal dunia Jumaat lalu akibat kegagalan organ selepas diserang demam denggi dan dia sempat membawa Noah Iskandar menziarahi pusara wanita itu di Tanah Perkuburan Bukit Lagong, di sini.

Usai ziarah itu, Noah Iskandar menangis dan video mengenainya yang dikongsikan Nurul Najihah di media sosial menjadi tular serta mengundang pelbagai reaksi warganet.

“Pada pagi Jumaat itu sebelum ke sekolah, saya sudah beritahu Noah yang Bubu (panggilan buat Marliana) meninggal dunia. Dia termenung sahaja selepas itu.

“Selepas habis kerja (petang), saya bawa Noah ke kubur Bubunya dan apabila di sana, Noah bacakan surah al-Fatihah (dan) dia masih kelihatan tenang.

“Ketika mahu meninggalkan kubur, saya lihat Noah berjalan agak perlahan dan sebaik masuk ke dalam kereta, dia menangis teresak-esak.

“Noah tanya saya boleh ke dia nak Bubu? Melihat keadaan dia, saya pun turut menangis sama,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut penolong pegawai perubatan itu, hubungan Noah Iskandar dan Marliana rapat kerana anak sulungnya itu sudah diasuh arwah sejak berusia tujuh bulan, malah mereka tinggal di apartmen yang sama di Selayang.

Katanya, disebabkan layanan Marliana yang sangat baik, dia juga menghantar anak keduanya, Elysa Yasmin, 4, untuk dijaga wanita itu ketika dia bekerja.

“Disebabkan hubungan rapat Noah dengan Marliana, saya masih menghantarnya ke rumah arwah sekali-sekala (kerana Noah sudah bersekolah).

“Perkataan Bubu adalah panggilan Noah buat Marliana yang bermaksud ibu. Noah pelat.. disebabkan itu ibu jadi Bubu. Noah beritahu dia suka layanan Bubu yang kerap menyuapkan makanan serta melayannya bermain,” katanya.

Nurul Najihah berkata, dia mengetahui arwah Marliana mengalami demam denggi dan dimasukkan ke hospital pada Rabu lalu, malah sempat menitipkan kata-kata semangat dan pesanan mengenai pengambilan makanan.

“Keesokan harinya (Khamis lalu), anaknya (anak Marliana) memaklumkan dia (Marliana) ditidurkan dan pada Jumaat, anak buahnya pula beritahu saya Bubu meninggal dunia akibat kegagalan organ,” katanya.

Dia menyifatkan pengasuh Noah Iskandar itu adalah seorang wanita yang baik dan suka bersedekah makanan kepada orang lain

“Sebelum ini arwah bekerja sebagai tukang masak jadi dia suka masak dan masakannya terutama cekodok serta mihun goreng amat sedap.

“Saya juga terasa kehilangannya yang dianggap seperti kakak sendiri. Malah, dia juga seorang pendengar yang baik,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top