Barangan 'ciplak' jenama terkemuka bernilai RM700,000 dirampas di Jalan Petaling

Barangan 'ciplak' jenama terkemuka bernilai RM700,000 dirampas di Jalan Petaling

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelbagai jenis barangan diciplak daripada jenama terkemuka bernilai mencecah RM700,000 dirampas menerusi serbuan Ops Putra 7.0 ke atas empat stor di Jalan Petaling, di sini, hari ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman berkata, pihaknya merampas kira-kira 5,000 barangan tiruan dalam operasi bermula 2 petang itu.

“Antara barangan dirampas termasuk bag tangan wanita, dompet, dan kasut tiruan yang ada di antaranya dijual pada harga premium mencecah RM1,500 bagi sesetengah bag tangan wanita.

“Kita dapati stor ini menyimpan banyak barangan tiruan dari gred triple A ke gred paling rendah,” katanya pada sidang media di lokasi selepas selesai serbuan di sini, hari ini.

Menurutnya, kesemua empat stor berkenaan dipecahkan kepada tujuh hingga lapan bilik kecil yang dipercayai disewakan kepada pemilik barangan tiruan terbabit secara berasingan.

Katanya, pihaknya percaya setiap barangan tiruan yang dirampas mempunyai pemilik yang berlainan.

“Semua stor berkenaan tidak pernah diserbu sebelum ini dan kita percaya mereka menggunakan taktik berpindah randah bagi mengelak dikesan.

“Hasil risikan selama dua minggu mendapati premis berkenaan menggajikan pekerja warga asing dan menyasarkan pelanggan dalam kalangan tempatan dan pelancong asing khususnya,” katanya.

Menurutnya, tiada tangkapan dilakukan menerusi operasi ini namun siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan pemilik barangan terbabit.

Sementara itu Mohd Sabri berkata, hasil usaha berterusan KPDN Kuala Lumpur, Malaysia berjaya dikeluarkan dari senarai pemantauan United States Trade Representative (USTR) berkaitan produk tiruan.

Katanya, secara keseluruhan pihaknya berjaya menghasilkan 54 kes berprofil tinggi menerusi Ops Putra sejak 2023 dengan nilai sitaan mencecah RM3.38 juta.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top