am@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Keluarga Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Mattin akur terhadap keputusan Mahkamah Sesyen di sini yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas ibu kanak-kanak autistik itu, hari ini.
Datuk kepada Zayn Rayyan, Zahari Mohd Reba, 57, bagaimanapun mengakui hati mereka sekeluarga remuk sebaik menantunya, Ismanira Abdul Manaf, 30, disabitkan bersalah atas pertuduhan mengabaikan Zayn Rayyan.
“Semua sedia maklum bahawa keputusan hari ini, kami keluarga akur (dengan keputusan mahkamah).
“Hati kita (keluarga) remuk,” katanya kepada pemberita di pekarangan Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Terdahulu, Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Ismanira selepas tertuduh didapati bersalah mengabaikan anak lelakinya, Allahyarham Zayn Rayyan dua tahun lalu.
Hakim Dr Syahliza Warnoh menetapkan hukuman penjara itu, bermula dari tarikh sabitan.
Dalam pada itu, Zahari turut menyuarakan kekecewaan terhadap kegagalan siasatan polis dalam kes pembunuhan.
“Cuma saya nak tekankan pada hari ini, walaupun keputusan sudah diambil, saya nak tahu, apa status kes pembunuhan Zayn Rayyan sehingga kini?
“Polis menjalankan siasatan, gagal. Pembunuh masih ada di luar sana. Saya minta pihak bertanggungjawab meneruskan siasatan dengan telus dan adil.
“Selama dua tahun, keluarga kami telah dianiaya dan difitnah dalam media sosial. Tapi, kami sabar.
“Kami sentiasa berdoa kepada Allah, semoga orang yang menfitnah, menganiaya kami akan terima balasan. Walaupun di dunia tak ditunjukkan kifarahnya, insya-Allah di akhirat pasti,” katanya.
Zahari juga memohon supaya hak penjagaan adik bongsu kepasa Zayn Rayyan yang kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diserahkan kepada keluarga mereka semula.
“Cuma sekarang, kami mahu mengambil tanggungjawab ke atas adik arwah Zayn Rayyan yang kini berada di bawah jagaan JKM.
“Kita minta pihak JKM menyerahkan kepada kami. Kami sanggup apa-apa saja berlaku kepada cucu kami, ” katanya.
Ditanya tentang mahkamah permohonan untuk menangguhkan hukuman terhadap Ismanira, Zahari enggan mengulas lanjut dan menyatakan perkara itu diserahkan kepada peguam, Haresh Mahadevan yang mewakili Ismanira.
“Itu saya serahkan kepada peguam untuk memberi pandangan. Hanya tujuan saya hari ini untuk menyampaikan luahan hati keluarga kami, itu saja,” katanya.
- ‘Semoga Allah melaknat kau’
- Ismanira menangis nama adik Zayn Rayyan disebut peguam
- Kes Zayn Rayyan: Ismanira dihukum penjara 5 tahun
- Ismanira didapati bersalah tuduhan pengabaian Zayn Rayyan
- Kronologi kes Zayn Rayyan
© New Straits Times Press (M) Bhd




