Jadual padat ancam Arsenal, Arteta tuntut keprihatinan FA

Jadual padat ancam Arsenal, Arteta tuntut keprihatinan FA

London: Mikel Arteta menegaskan kebajikan pemain perlu menjadi keutamaan utama dalam setiap keputusan penggubal peraturan bola sepak, ketika pasukan Arsenal kini berdepan jadual padat yang boleh menjejaskan prestasi dan kesihatan pemainnya.

Skuad bimbingan Arteta dijadualkan menentang Crystal Palace dalam saingan suku akhir Piala Liga pada 16 Disember ini.

Namun, jadual itu menyebabkan Palace terpaksa bermain tiga perlawanan dalam tempoh hanya lima hari, sekali gus memaksa juara Piala FA itu mempertimbangkan untuk menunda aksi di Stadium Emirates ke minggu berikutnya.

Difahamkan, Arsenal lebih cenderung mengekalkan aksi suku akhir itu pada tarikh asal bagi mengelak jadual Krismas yang sudah pun padat.

Ketika ini, pendahulu Liga Perdana (EPL) itu sedang melalui tempoh tujuh perlawanan dalam hanya 22 hari, termasuk aksi menentang Burnley pada Sabtu sebelum kembali beraksi dalam Liga Juara-Juara menentang Slavia Prague, Selasa depan.

“Setiap keputusan yang kita buat mengenai jadual perlawanan sepatutnya berasaskan dua perkara utama kebajikan pemain dan penyokong. Itu sahaja. Perkara lain harus diletakkan jauh ke bawah daripada itu. Kita tidak sepatutnya lupakan prinsip itu.

“Jika kita ada satu helaian besar bertulis dua prinsip itu di depan mata sebelum membuat sebarang keputusan, saya percaya industri bola sepak tidak akan sampai ke tahap ini. Tetapi jika kita abaikan perkara itu, apa-apa pun boleh berlaku,” tambahnya.

Sebelum ini, pemain tengah Manchester City, Rodri, pernah memberi amaran bahawa pemain mungkin melakukan mogok jika jumlah perlawanan terus meningkat.

Apabila ditanya sama ada kebimbangan itu akan timbul semula apabila jadual semakin padat, Arteta menjawab: “Jika kita benar-benar menjaga kebajikan pemain dan penyokong, kita tidak akan sampai ke tahap itu.

“Kita mesti tutup ruang itu. Jangan biarkan ia terbuka. Ini adalah nilai paling penting dalam bola sepak.”

Arsenal melangkah ke suku akhir Piala Liga selepas menewaskan Brighton 2-0 pada Rabu lalu kemenangan kelapan berturut-turut dalam semua pertandingan buat The Gunners yang kini sedang berada dalam prestasi terbaik.

Mereka akan berkunjung ke Burnley dengan kelebihan empat mata di puncak liga dan rekod pertahanan yang tidak dibolosi dalam enam perlawanan terakhir.

Arsenal kini memburu kejuaraan Liga Inggeris pertama sejak 2004 selepas tiga musim berturut-turut menamatkan saingan sebagai naib juara.

Ketika ditanya sama ada pasukannya kini kelihatan tidak boleh ditewaskan, Arteta menjawab: “Tidak, kerana kami sentiasa ada rasa bimbang dan kesedaran terhadap cabaran yang menanti. Setiap tiga hari kami beraksi, dengan masa yang amat terhad untuk berlatih dan membuat persediaan.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top