Peranan algoritma media sosial

Peranan algoritma media sosial

Suatu ketika dahulu, nasib sesebuah filem banyak bergantung kepada ulasan yang diterbitkan di akhbar, majalah hiburan atau rancangan televisyen.

Pengkritik filem profesional memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi penonton terhadap sesebuah karya. Namun, landskap itu kini berubah dengan begitu pantas.

Dalam era media sosial, khususnya TikTok, kuasa untuk menentukan kejayaan atau kegagalan sesebuah filem tidak lagi terletak sepenuhnya pada pengkritik tradisional, sebaliknya berada di hujung jari jutaan pengguna media sosial.

Kini, satu video ulasan berdurasi kurang seminit mampu mempengaruhi keputusan ribuan individu untuk membeli tiket wayang.

Fenomena ini memperlihatkan bagaimana media sosial berkembang daripada sekadar platform hiburan kepada medium yang membentuk cita rasa, perbualan dan tingkah laku pengguna, termasuk dalam industri perfileman.

Perubahan ini berlaku seiring dengan perubahan corak penggunaan media dalam kalangan generasi muda.

Jika dahulu penonton mencari ulasan filem melalui portal hiburan atau ruangan seni budaya di akhbar, kini mereka lebih cenderung mencari kata kunci tertentu sebelum membuat keputusan untuk menonton sesuatu filem.

Video yang memaparkan reaksi spontan, ulasan ringkas atau perkongsian pengalaman selepas menonton dianggap lebih autentik dan mudah dipercayai berbanding ulasan formal.

Dalam konteks ini, media sosial dikatakan berfungsi sebagai platform word-of-mouth digital yang mempercepatkan penyebaran maklumat dan persepsi terhadap sesebuah karya.

Fenomena terbabit dapat dilihat menerusi kejayaan beberapa filem tempatan kebelakangan ini. Filem seperti Blood Brothers: Bara Naga misalnya menerima perhatian luar biasa di media sosial apabila pengguna berkongsi babak menarik, ulasan positif serta reaksi emosi selepas menonton.

Kandungan yang dihasilkan pengguna atau user-generated content ini secara tidak langsung menjadi bentuk promosi percuma yang membantu meningkatkan kesedaran dan minat orang ramai terhadap filem terbabit.

Begitu juga dengan filem seram tempatan yang sering mendapat manfaat daripada perbincangan aktif. Video reaksi penonton yang terkejut, takut atau berkongsi teori mengenai jalan cerita sering menjadi tular dan mendorong lebih ramai pengguna untuk menonton filem berkenaan.

Dalam banyak keadaan, elemen viral di media sosial menjadi faktor penting yang menentukan prestasi sesebuah naskhah.

Fenomena sama turut berlaku di peringkat antarabangsa. Filem seperti Anyone But You yang ditayangkan pada penghujung 2023 misalnya mencatat kutipan memberangsangkan.

Lagu latar filemnya menjadi trend dalam kalangan pengguna media sosial. Situasi ini menunjukkan bahawa pengaruh media sosial kini mampu mengubah trajektori pemasaran sesebuah filem secara signifikan.

Bagaimanapun, perkembangan ini turut membawa beberapa cabaran kepada industri perfileman.

Salah satu isu utama adalah kecenderungan pengguna membuat penilaian terhadap sesebuah filem berdasarkan potongan klip pendek atau ulasan ringkas yang tidak semestinya menggambarkan keseluruhan karya.

Dalam media sosial kandungan yang bersifat sensasi dan emosi sering mendapat perhatian lebih tinggi berbanding perbincangan yang mendalam mengenai aspek sinematografi, penceritaan atau mesej sosial yang ingin disampaikan.

Akibatnya, sesebuah filem mungkin dinilai terlalu cepat berdasarkan beberapa babak tertentu tanpa mengambil kira konteks keseluruhan.

Dalam sesetengah keadaan, persepsi negatif yang tular juga boleh memberi kesan besar terhadap prestasi sesebuah filem walaupun kritikan terbabit tidak semestinya adil atau tepat.

Selain itu, algoritma media sosial turut memainkan peranan dalam menentukan filem mana yang mendapat perhatian lebih luas.

Kandungan yang menerima interaksi tinggi akan dipaparkan kepada lebih ramai pengguna, sekali gus meningkatkan lagi popularitinya.

Situasi ini mewujudkan satu bentuk kuasa baharu dalam ekosistem hiburan, iaitu kuasa algoritma yang berupaya menentukan apa yang dilihat, dibincangkan dan akhirnya ditonton oleh masyarakat.

Dalam konteks ini, pembikin filem dan syarikat produksi tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada strategi pemasaran tradisional.

Mereka perlu memahami bagaimana kandungan bergerak dalam ekosistem digital dan bagaimana perbualan di media sosial boleh mempengaruhi tingkah laku penonton.

Begitupun, peranan pengkritik filem profesional masih relevan. Mereka menawarkan analisis yang lebih mendalam, kritikal dan berasaskan pengetahuan mengenai seni perfileman.

Apa yang berubah adalah monopoli pengaruh yang suatu ketika dahulu dimiliki oleh golongan terbabit kini dikongsi bersama jutaan pengguna media sosial.

Hakikatnya, ia tidak menggantikan peranan pengkritik filem, tetapi memperluaskan definisi siapa yang boleh menjadi pengkritik.

Dalam dunia digital yang semakin demokratik, setiap penonton kini berpotensi menjadi pemberi ulasan yang mampu mempengaruhi keputusan orang lain.

Kerana dalam dunia hiburan hari ini, satu video berdurasi 30 saat kadangkala mampu memberi impak yang lebih besar daripada satu halaman ulasan penuh.

Penulis pengkarya bebas dan calon Doktor Falsafah (PhD) Komunikasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top