Membentuk literasi politik generasi muda

Membentuk literasi politik generasi muda

Harga barangan yang dibeli, peluang pekerjaan yang tersedia, kadar cukai yang dikenakan, malah kos pendidikan dan perubatan yang ditanggung setiap hari sebenarnya berkait rapat dengan keputusan politik. Namun begitu, masih ramai dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda yang melihat politik sebagai sesuatu yang jauh daripada kehidupan mereka.

Sebahagian menganggap politik hanya urusan ahli politik dan pemerintah. Ada pula yang melihat politik sebagai medan pertelingkahan, fitnah dan perebutan kuasa yang perlu dijauhi. Akibatnya, mereka memilih untuk tidak mengambil peduli terhadap perkembangan politik semasa.

Hakikatnya, tiada seorang pun yang benar-benar terlepas daripada pengaruh politik. Dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, setiap individu sentiasa berinteraksi dengan pelbagai dasar dan keputusan yang lahir daripada proses politik. Oleh sebab itu, politik bukan sekadar soal pilihan raya, parti atau jawatan, tetapi berkaitan secara langsung dengan pengurusan urusan rakyat dan pembangunan sesebuah negara.

Malangnya, kefahaman politik yang sempit masih berlegar dalam masyarakat. Politik sering difahami hanya sebagai usaha merebut kuasa dan kedudukan dalam pemerintahan. Kekeliruan ini menyebabkan sebahagian generasi muda tidak berminat untuk mengikuti perkembangan politik atau mengambil tahu tentang isu-isu yang memberi kesan terhadap kehidupan mereka.

Walhal, politik dalam makna yang lebih luas merangkumi pengurusan hal ehwal masyarakat, penyusunan dasar awam, pemeliharaan kebajikan rakyat serta pembangunan negara secara menyeluruh. Kesedaran politik bukan sekadar membabitkan penyertaan dalam pilihan raya, tetapi juga keupayaan memahami isu semasa, menilai dasar kerajaan dan menyumbang idea demi kemaslahatan masyarakat.

Dalam era media sosial dan kecerdasan buatan (AI) hari ini, cabaran politik generasi muda menjadi semakin kompleks. Mereka berdepan lambakan maklumat yang bergerak pantas melalui pelbagai platform digital. Malangnya, tidak semua maklumat tersebut bersifat benar dan sahih. Berita palsu, propaganda politik, manipulasi fakta serta kandungan yang sengaja direka untuk mempengaruhi emosi masyarakat mudah tersebar tanpa sempadan.

Keadaan ini menuntut generasi muda memiliki literasi politik yang baik. Mereka perlu dilatih untuk menilai sumber maklumat secara kritis, membezakan di antara fakta dan persepsi serta mengelakkan diri daripada menjadi mangsa manipulasi pihak yang berkepentingan. Kesedaran politik pada hari ini bukan lagi sekadar mengetahui siapa yang memerintah, tetapi memahami bagaimana sesuatu keputusan politik memberi kesan kepada kehidupan rakyat.

Selain itu, pelaksanaan UNDI18 turut membuka ruang yang lebih besar kepada penglibatan anak muda dalam proses demokrasi negara. Hak mengundi yang diberikan kepada mereka merupakan satu amanah yang perlu disertai dengan ilmu dan kefahaman yang matang. Tanpa kesedaran politik yang mencukupi, hak tersebut berisiko digunakan berdasarkan sentimen, emosi atau pengaruh media sosial semata-mata.

Rentetan itu, masyarakat perlu dibudayakan dengan politik yang sihat dan mencerdaskan. Pemain politik sewajarnya menumpukan perhatian kepada perbahasan dasar, penyelesaian masalah rakyat dan pembangunan negara. Mereka perlu mengemukakan fakta, idea dan cadangan yang konstruktif, bukannya menggunakan sentimen kebencian atau perpecahan untuk meraih sokongan.

Budaya politik yang berasaskan fitnah, adu domba, penghinaan dan pendedahan aib hanya akan menjarakkan masyarakat daripada politik. Lebih membimbangkan, ia boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi politik dan kepimpinan negara.

Di samping itu, ketaasuban melampau terhadap politik kepartian juga perlu dielakkan. Ramai terlalu sibuk memperdebatkan parti, individu dan jawatan sehingga terlupa untuk menilai dasar serta agenda yang diperjuangkan. Sedangkan parti, pangkat dan jawatan hanya wadah, manakala matlamat sebenar politik ialah membawa manfaat kepada rakyat dan negara.

Seumpama sebuah botol, nilai sebenar bukan terletak pada rupa luarannya, tetapi pada isi yang terkandung di dalamnya. Begitu juga dalam politik. Apa yang lebih penting untuk dinilai ialah idea, dasar, integriti dan kemampuan seseorang pemimpin atau sesebuah parti dalam menguruskan kepentingan rakyat.

Masyarakat yang matang tidak mudah terpengaruh dengan slogan atau sentimen semata-mata. Sebaliknya, mereka menilai sesuatu berdasarkan fakta, prestasi dan manfaat yang dibawa kepada masyarakat. Ini asas kepada pembentukan budaya politik yang sihat dan bertanggungjawab.

Tuntasnya, golongan muda perlu keluar daripada sikap pasif dan tidak peduli terhadap politik. Memetik kata-kata penyair Jerman, Bertolt Brecht, “Buta yang paling buruk ialah buta politik iaitu seseorang yang tidak mempedulikan politik dengan pancainderanya. Seolah-olah tidak peduli mengenai kos sara hidup, harga barang, harga tempat tinggal, kos perubatan dan lain-lain sedangkan semuanya bergantung kepada keputusan politik.”

Bagi melahirkan generasi muda yang celik politik, mereka perlu dibentuk menjadi golongan yang mempunyai kesedaran politik yang tinggi, memahami hak dan tanggungjawab sebagai warganegara serta berani menyumbang idea demi kemajuan negara.

Penulis Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Cawangan Johor

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top