PGA rampas dadah bernilai RM9.56 juta dalam tempoh 10 bulan

PGA rampas dadah bernilai RM9.56 juta dalam tempoh 10 bulan

nfazlina@nstp.com.my

Tumpat: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM9.56 juta sejak Januari sehingga Oktober tahun ini.

Pemangku Komander Briged Tenggara PGA, Asisten Komisioner Ijid Landu Binju, berkata jumlah rampasan berkenaan membabitkan 246 kes.

“Daripada jumlah kes berkenaan, kita merampas 42 kenderaan pelbagai jenis yang bernilai RM979,000 serta rampasan dadah bernilai lebih RM8.5 juta.

“Rampasan terbaru dilakukan di Kampung Tok Pelanduk, Bukit Tungku Pasir Mas pada 23 Oktober lalu membabitkan bunga ganja seberat 7.05 kilogram (kg),” katanya pada sidang media di Markas Taktikal Op Taring Wawasan, di sini, hari ini.

Pada masa sama katanya, seramai 203 pendatang asing tanpa izin (PATI) meliputi 156 lelaki dan 47 wanita ditahan sejak Januari hingga bulan lalu.

Katanya, kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 26(j) Akta Atipsom 2007 dengan kebanyakan PATI yang ditahan adalah warga Myanmar.

“Selain itu, seramai 33 tekong lelaki ditahan termasuk penduduk tempatan dan warga asing,” katanya.

Jelasnya, menerusi tangkapan dan rampasan itu menyaksikan pegawai dan anggota di sempadan sentiasa bertugas tanpa mengira masa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top