ISTANBUL – Tentera Laut Pengawal Revolusi Iran (IRGC) mengumumkan awal pagi Ahad bahawa Selat Hormuz akan ditutup sehingga diberitahu kelak.
Pasukan itu memaklumkan beberapa kapal cuba menggunakan laluan yang tidak dibenarkan melalui selat berkenaan walaupun telah diberikan amaran berulang kali supaya menukar haluan dan menggunakan laluan yang diluluskan.
Dalam satu kenyataan yang disiarkan agensi berita rasmi Iran, IRNA, pasukan itu berkata sebuah kapal telah mematikan sistemnya sehingga mengancam keselamatan maritim sebelum dilepaskan tembakan amaran dan ditahan.
Tentera Laut Pengawal Revolusi Iran berkata laluan perairan strategik itu akan kekal ditutup sehingga diberitahu kelak dan sehingga campur tangan Amerika Syarikat (AS) di rantau berkenaan dihentikan, sambil menegaskan tiada kapal dibenarkan melalui laluan tersebut.
Pasukan itu turut memberi amaran bahawa sebarang serangan baharu terhadap Iran akan dibalas dengan tindakan yang lebih tegas, termasuk melancarkan serangan ke atas lebih banyak pangkalan “musuh” di rantau berkenaan.
Menurut kenyataan itu, pasukan berkenaan menyalahkan “campur tangan asing yang menyalahi undang-undang” sebagai punca insiden tersebut dan meletakkan tanggungjawab terhadap sebarang peningkatan ketegangan kepada AS, Israel serta negara-negara yang menempatkan pangkalan tentera AS.
Pada Jun lalu, Teheran dan Washington menandatangani memorandum persefahaman yang diusahakan Pakistan bagi menamatkan perang yang bermula pada penghujung Februari serta membuka laluan ke arah perjanjian damai yang berkekalan.
Memorandum itu menggariskan gencatan senjata serta-merta di semua medan pertempuran, penamatan sekatan laut AS terhadap Iran dan pembukaan semula Selat Hormuz.
Bagaimanapun, kedua-dua pihak kembali berbalas serangan minggu ini berhubung laluan kapal komersial melalui Selat Hormuz. AS melancarkan serangan ke atas sasaran di Iran sebelum Tehran bertindak balas dengan menyasarkan aset AS di seluruh rantau berkenaan. – Bernama



