MANILA – Sekurang-kurangnya 15 pelancong warga India maut selepas sebuah bot yang membawa kumpulan pelancong itu terbalik di perairan berhampiran Pulau Phu Quoc di selatan Vietnam, pada Sabtu.
Menurut laporan media tempatan VnExpress yang memetik pihak berkuasa Vietnam, seramai 21 individu berjaya diselamatkan dalam kejadian itu, manakala operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan bagi mengesan mangsa lain.
Bot berkenaan membawa 36 orang, terdiri daripada 32 pelancong India, tiga kru dan seorang petugas.
Kedutaan India di Vietnam memaklumkan pihaknya sedang memantau rapat perkembangan insiden itu serta menubuhkan pusat tindak balas kecemasan di Ho Chi Minh City dan Hanoi bagi membantu mangsa serta keluarga yang terbabit.
Dalam satu kenyataan, kedutaan itu berkata, butiran sebenar kejadian masih sedang dikenal pasti berikutan operasi mencari dan menyelamat oleh pihak berkuasa tempatan masih berlangsung.
Kedutaan itu turut menyifatkan kejadian berkenaan sebagai satu tragedi.
Menurut pihak berkuasa yang dipetik VnExpress, bot itu sedang dalam perjalanan dari Pulau Hon May Rut ke Pelabuhan An Thoi sebelum terbalik kira-kira 400 meter dari pesisir pantai.
Media tempatan itu melaporkan keadaan laut bergelora dengan ombak besar ketika kejadian dipercayai menjadi antara faktor yang menyebabkan bot berkenaan terbalik.
Pihak berkuasa Vietnam meneruskan operasi mencari dan menyelamat, manakala Kedutaan India berkata, akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi membantu mangsa serta keluarga yang terjejas.



