Dalam dunia serba moden hari ini, isu kemahiran keibubapaan menjadi semakin genting. Ramai ibu bapa mengeluh tentang masalah akhlak remaja – anak yang semakin liar, kasar tutur katanya, hilang rasa hormat, bahkan terjebak dalam budaya tular yang melampau.
Setiap kali berita tentang buli, pergaduhan, lari dari rumah atau ketagihan gajet muncul di media sosial, masyarakat cepat menuding jari kepada satu punca: telefon pintar dan permainan elektronik. Benarkah gajet bersalah, atau sebenarnya kelemahan pendidikan jiwa dan akhlak dalam keluarga yang menjadi akar masalah? Allah SWT berfirman: “Telah nyata kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh tangan-tangan manusia…” (Surah al-Rum, 30:41). Justeru, kerosakan akhlak remaja yang kita lihat hari ini adalah akibat daripada perbuatan dan kelalaian manusia sendiri – termasuk kegagalan mendidik anak dengan nilai Islam.
Antara gajet dan didikan
Tidak dinafikan, dunia digital mengubah corak kehidupan anak-anak. Kajian UNICEF (2024) mendapati remaja Malaysia menghabiskan purata 7 jam sehari di hadapan skrin – sama ada untuk media sosial, permainan dalam talian, atau tontonan hiburan. Namun teknologi hanya alat; yang menentukan kesannya adalah tangan yang menggunakannya. Rasulullah SAW mengingatkan: “Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan ditanya tentang kepimpinannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Ibu bapa bukan sekadar penyedia makan dan minum, tetapi pendidik hati dan akhlak. Bila anak-anak ditinggalkan sendirian bersama skrin tanpa panduan, gajet akan menjadi ‘guru’ yang membentuk minda dan moral mereka – tanpa nilai agama, tanpa batas adab.
Krisis sentuhan dan komunikasi
ini menyaksikan krisis komunikasi dalam keluarga. Ibu bapa sibuk dengan kerja, anak sibuk dengan permainan, dan ruang makan keluarga menjadi sunyi tanpa bicara. Kajian LPPKN (2023) menunjukkan hampir 60% ibu bapa mengaku kurang masa berbual dengan anak-anak, walaupun tinggal serumah. Akibatnya, anak mencari tempat lain untuk meluah perasaan – kawan, media sosial, atau pengaruh luar. Nabi SAW bersabda: “Bukanlah anak itu dilahirkan kecuali di atas fitrah. Maka ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Maksudnya, akhlak dan keperibadian anak sangat bergantung kepada bimbingan dan teladan ibu bapa. Bila bapa hilang contoh kepemimpinan dan ibu terlalu penat untuk mendengar, anak akan belajar daripada dunia maya – bukan dari rumahnya.
Tadabbur Surah Luqman (Ayat 12–19):
Formula Didikan Rabbani; Allah SWT mengabadikan nasihat Luqman kepada anaknya sebagai panduan abadi bagi semua ibu bapa. Dalam Surah Luqman ayat 12–19, terdapat kaedah didikan keibubapaan yang seimbang antara kasih dan hikmah:
Didik dengan syukur dan tauhid (Ayat 12–13)
“Bersyukurlah kepada Allah… Janganlah engkau mempersekutukan-Nya.” Pendidikan pertama ialah tauhid dan kesyukuran.
Tanam nilai kasih dan ketaatan (Ayat 14–15)
“Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua orang tuamu…” Anak perlu diajar menghargai jasa dan mendahulukan budi.
Teguhkan aqidah dan keperibadian (Ayat 16)
“Sesungguhnya jika ada seberat biji sawi… Allah akan mendatangkannya.” Ini mendidik kesedaran ihsan.
Latih ibadah dan tanggungjawab sosial (Ayat 17)
“Wahai anakku, dirikanlah solat, suruhlah kepada yang makruf, cegahlah kemungkaran…”
Bina adab dan rendah diri (Ayat 18–19)
“Janganlah kamu memalingkan muka dari manusia dengan sombong…”
Refleksi realiti kini
Lihatlah berita mutakhir – remaja menconteng masjid, buli rakan hingga maut, terlibat dalam rakaman lucah, dan mencabar guru di pelbagai ruang maya dan media sosial. Semua ini hasil kegagalan sistem tarbiah keluarga yang tidak menyeimbangkan kasih, disiplin, dan agama. Allah SWT berfirman lagi: “Sesungguhnya Kami tawarkan amanah itu kepada langit, bumi dan gunung-ganang, maka semuanya enggan memikulnya dan bimbang akan mengkhianatinya; lalu manusia sanggup memikulnya. Sesungguhnya manusia itu sangat zalim lagi jahil.” (Surah al-Ahzab Ayat 72)
Ayat ini mengingatkan bahawa manusia memikul amanah moral dan agama yang berat. Bila amanah itu diabaikan – termasuk amanah mendidik anak – maka lahirlah generasi yang zalim terhadap diri sendiri, kehilangan panduan dan nilai.
Peranan masyarakat dan ummah
Masalah akhlak bukan hanya tanggungjawab ibu bapa. Ia tanggungjawab kolektif ummah. Sekolah, masjid, komuniti dan media perlu berganding bahu mengembalikan nilai tadabbur, dialog dan teladan. Rasulullah ﷺ bersabda: “Tidak ada pemberian seorang ayah kepada anaknya yang lebih baik daripada adab yang baik.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)
Selain itu, Allah SWT menyeru dalam konteks ini: “Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan janganlah tolong-menolong dalam dosa dan permusuhan.” (Surah al-Ma’idah Ayat 2)
Ayat ini menegaskan asas kepada kerjasama sosial Islam (ta’āwun). Semua pihak – ibu bapa, guru, pemimpin, dan media – mesti bekerjasama memupuk budaya ilmu, adab, dan tanggungjawab sosial, bukan menormalisasi maksiat atau hiburan yang melalaikan.
Jalan Pulang: Kembali kepada tarbiah Luqman
Ubatnya bukanlah dengan menyalahkan gajet semata-mata, tetapi mengembalikan fungsi rumah sebagai madrasah pertama. Setiap ibu bapa mesti belajar kemahiran mendidik seperti Luqman dengan hikmah, nasihat lembut, teladan amal dan doa yang berterusan. “Dan sesiapa yang bertawakal kepada Allah, maka cukuplah Allah baginya.” (Surah al-Talaq, Ayat 3)
Kesimpulan
Isu akhlak remaja hari ini bukan sekadar fenomena sosial, tetapi krisis spiritual dan keibubapaan. Gajet tidak berdosa – yang perlu diperbaiki ialah hati menggunakannya. Kembalikan rumah kita menjadi sekolah iman dan jadikan diri kita contoh akhlak bagi anak-anak. Allah SWT menyeru kita supaya selalu berdoa: “Dan orang-orang yang berkata: ‘Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami pasangan dan zuriat yang menjadi penyejuk mata, dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.” (Surah al-Furqan Ayat 74)
Penulis ialah Profesor Madya Bahasa Arab, Fakulti Pengajian Bahasa Utama(FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
© New Straits Times Press (M) Bhd




