am@hmetro.com.my
Seremban: Tindakan UMNO yang menarik sokongan terhadap pentadbiran kerajaan negeri disifatkan satu tindakan berani yang membuka ruang kepada rakyat untuk memilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Justeru Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengucapkan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO atas tindakan itu.
“Saya nak ucap terima kasih kepada UMNO kerana mengisytiharkan tarik sokongan di Negeri Sembilan menyebabkan rakyat boleh memilih pada pilihan raya kali ini.
“Tindakan ini satu tindakan berani kerana sudah bosan dengan tindakan PH (Pakatan Harapan) mentadbir mengurus Negeri Sembilan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Calon PN PRN Negeri Sembilan, di sini malam ini.
Beliau berkata, tindakan itu juga bakal menyaksikan gelombang hijau akan merebak di Negeri Sembilan bermula pada PRN kali ini.
Beliau berkata, tindakan DAP yang terus memainkan naratif ‘gelombang hijau’ bagi menakut-nakutkan pengundi Cina sepanjang kempen pilihan raya akhirnya memakan diri sendiri
Menurutnya, strategi berkenaan digunakan dalam beberapa pilihan raya sebelum ini, namun mendakwa ia tidak berjaya mempengaruhi pengundi.
“Kita tahu bagaimana DAP cuba menakut-nakutkan pengundi Cina khususnya dengan gambaran ‘Green Wave’ atau gelombang hijau yang dikatakan mengancam kestabilan dan keharmonian.
“Sejarah membuktikan, semakin kuat mereka menakut-nakutkan pengundi Cina, semakin kuat mereka ditolak oleh pengundi itu,” katanya.
Katanya, DAP kehilangan sokongan di Sabah dan Johor, malah yakin parti itu akan turut kehilangan sokongan pada PRN Negeri Sembilan.
Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, gabungan PN- BN akan melengkapkan ‘puzzle’ (teka-teki) kerusi yang tidak ditandingi BN.
“PRN ini sebagai satu mukadimah penting, satu alignment baharu politik Malaysia. BN umum 25 DUN, tapi ‘puzzle’ itu tidak lengkap dan kita lengkapkannya dengan umumkan calon di 11 DUN,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




