Miami: Perancis dan England dijangka melakukan rombakan apabila bertemu dalam aksi penentuan tempat ketiga Piala Dunia 2026, awal pagi Ahad ini, namun perlawanan itu tetap mempunyai tarikan tersendiri buat Didier Deschamps dan Kylian Mbappe.
Perancis gagal melangkah ke final selepas tewas 0-2 kepada Sepanyol pada separuh akhir, manakala England turut kempunan apabila tunduk 1-2 kepada Argentina sehari kemudian.
Pertemuan di Miami itu bakal menjadi perlawanan terakhir Deschamps sebagai ketua jurulatih Perancis, sekali gus menamatkan khidmatnya selama 14 tahun bersama Les Bleus.
Sepanjang tempoh itu, pengendali berusia 57 tahun itu menghadiahkan kejuaraan Piala Dunia 2018, muncul naib juara pada 2022 serta membawa Perancis mara ke separuh akhir dalam tiga edisi berturut-turut.
Deschamps pastinya mengharapkan penamat lebih manis dengan satu lagi gelaran dunia, namun kini dia hanya berpeluang menamatkan tugasnya dengan kemenangan dalam perebutan tempat ketiga.
Kedua-dua pasukan dijangka melakukan penggiliran pemain selepas mengharungi jadual padat dan kekecewaan besar gagal mara ke final.
Pengendali England, Thomas Tuchel, mengakui anak buahnya sukar menerima hakikat perlu beraksi dalam perlawanan penentuan tempat ketiga selepas impian ke final berkecai.
“Tiada seorang pun pemain England atau Perancis mahu bermain dalam perlawanan ini. Mereka mahu beraksi di final.
“Kami sudah memberikan segala-galanya untuk mara ke final,” katanya.
Di sebalik tumpuan terhadap Deschamps, Mbappe turut berpeluang mencipta sejarah apabila sudah meledak lapan gol pada Piala Dunia kali ini dan mengumpul 20 jaringan keseluruhan, sekali gus masih bersaing memburu Kasut Emas serta rekod penjaring terbanyak sepanjang sejarah kejohanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




