London: Kerajaan United Kingdom (UK) pada Ahad mengumumkan akan melucutkan gelaran kehormat laksamana madya terhadap bekas putera, Andrew, iaitu pangkat tentera terakhirnya yang masih disandangnya.
Andrew dilucutkan gelaran kehormat tenteranya oleh ibunya, mendiang Ratu Elizabeth II, pada 2022 selepas beliau disaman oleh Virginia Giuffre, penuduh utama dalam kes membabitkan pesalah seks di Amerika Syarikat (AS), Jeffrey Epstein.
Langkah terbaharu itu diambil selepas Raja Charles III pada Khamis melucutkan baki semua gelaran diraja dan penghormatan adiknya itu susulan kemarahan yang memuncak di UK berhubung kaitan Andrew dengan Epstein.
“Kita melihat Andrew menyerahkan jawatan kehormat yang dipegangnya dalam tentera… Berpandukan keputusan raja sekali lagi, kami kini berusaha untuk melucutkan gelaran terakhirnya sebagai laksamana madya,” kata Menteri Pertahanan, John Healey kepada BBC.
Beliau turut memberitahu program Laura Kuenssberg bahawa kerajaan juga mendapatkan pandangan raja mengenai sama ada Andrew perlu kehilangan pingat tenteranya.
Adik raja itu pernah diraikan kerana peranannya sebagai juruterbang helikopter Tentera Laut Diraja dalam Perang Falklands pada 1982. Beliau bersara pada 2001 selepas 22 tahun berkhidmat.
Andrew menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa beliau melakukan penderaan seksual terhadap Giuffre yang dalam memoir anumerta (diterbitkan selepas kematian) pada Oktober lalu, yang wanita itu mendakwa diperdagangkan untuk melakukan hubungan seks dengan Andrew sebanyak tiga kali dengan dua daripadanya ketika dia baru berusia 17 tahun.
Bagaimanapun, pada Khamis lalu, Istana Buckingham dalam satu kenyataan bernada tegas memaklumkan bahawa “Putera Andrew kini akan dikenali sebagai Andrew Mountbatten Windsor” sambil menambah “teguran ini dianggap perlu” walaupun beliau terus menafikannya.
Raja Charles III dan permaisuri turut menyatakan bahawa “simpati sepenuhnya mereka sudah dan akan sentiasa bersama mangsa serta mangsa yang terselamat daripada sebarang bentuk penderaan,”.
Media Britain melaporkan bahawa Andrew enggan meluluskan sebarang kenyataan yang menyentuh mengenai mangsa sejak temu bualnya Bersama BBC Newsnight pada 2019 yang mencetuskan kontroversi apabila beliau mempertahankan kaitannya dengan Epstein dan gagal menunjukkan empati terhadap wanita yang terbabit.
“Sudah lama wujud kesedaran dalam kalangan keluarga diraja bahawa suara mangsa perlu didengari,” kata seorang lagi rakan kepada Sunday Times.
© New Straits Times Press (M) Bhd




