kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Sekolah Dato Abdul Razak (SDAR) Seremban melakar kejayaan membanggakan apabila dinobatkan johan dan penerima Anugerah Emas Festival Wind Orchestra Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Peringkat Kebangsaan Ke-24, tahun ini.
SDAR dalam kenyataan berkata, festival berlangsung di Pusat Kebudayaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 11 hingga 13 Ogos lalu yang menyaksikan pasukan orkestra tiupan sekolah berkenaan bersaing sengit dengan 18 pasukan lain.
Persembahan bertenaga dan berkualiti tinggi dipamerkan membolehkan pasukan SDAR muncul juara, sekali gus meletakkan Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA), Terengganu di tempat kedua.
Tempat ketiga dimenangi Sekolah Sultan Alam Shah (SAS), Putrajaya, diikuti Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS), Kuala Lumpur (keempat) dan Sekolah Menengah Sains Kuching (SAINSKU), Sarawak (kelima).
Festival berkenaan bukan hanya menjadi medan pertandingan muzik, malah turut menguji disiplin, ketepatan, kreativiti, kepimpinan, daya tahan serta semangat kerja berpasukan dalam kalangan murid.
“Ini adalah kejuaraan kedua buat SDAR dalam Festival Wind Orchestra SBP selepas kali terakhir muncul juara pada 2016.
“Lebih membanggakan, kemenangan itu menyusul selepas muncul pasukan menjadi johan Asian Music Games Malaysia National Qualifiers pada 7 Jun lalu,” kata SDAR.
Susulan kejayaan itu, pasukan SDAR bakal mewakili negara pada pertandingan Asian Music Games yang dijadual berlangsung September ini.
Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (BPSBP) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Rose Aza Che Arifin hadir menyempurnakan majlis.
© New Straits Times Press (M) Bhd
