zanariah_mutalib@bh.com.my
Kuala Lumpur: Kerajaan menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada Mei lalu yang membatalkan tindakan mengeluarkan nikotin cecair daripada senarai racun berjadual.
Menurut Code Blue, seorang Peguam Kanan Persekutuan daripada Jabatan Peguam Negara mengemukakan notis pemberhentian rayuan itu di Mahkamah Rayuan, hari ini.
Notis itu menyatakan Menteri Kesihatan dan kerajaan mahu menarik balik serta menghentikan rayuan terhadap responden, tanpa sebarang perintah mengenai kos.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad dan kerajaan dilapor memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada 15 Mei lalu, yang memutuskan tindakan Menteri Kesihatan mengeluarkan nikotin cecair yang digunakan dalam produk vape dan rokok elektronik daripada senarai racun, adalah tidak rasional dan dibuat tanpa berunding secara sewajarnya dengan Lembaga Racun.
Keputusan dibuat Hakim Datuk Aliza Sulaiman selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membatalkan sebahagian daripada Perintah Racun (Pindaan Senarai Racun) 2023 yang mengecualikan cecair dan gel vape daripada Senarai Racun.
Mahkamah mendapati keputusan mengeluarkan nikotin cecair yang digunakan dalam produk vape dan rokok elektronik daripada senarai racun, adalah ultra vires (bertentangan) Seksyen 6 Akta Racun 1952.
Pada 14 Oktober 2023, Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Pertubuhan Malaysian Green Lung (MGLA) dan Voice of the Children (VOC) sebagai pemohon mendapat kebenaran daripada mahkamah untuk memulakan semakan kehakiman terhadap Menteri Kesihatan dan kerajaan sebagai responden pertama dan kedua.
© New Straits Times Press (M) Bhd
