BUDI95: PENGHANTAR mohon kerajaan tambah kuota sehingga 1,200 liter

BUDI95: PENGHANTAR mohon kerajaan tambah kuota sehingga 1,200 liter

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Penghantar P-Haling Malaysia (PENGHANTAR) menggesa kerajaan menambah kuota Budi MADANI RON95 (BUDI95) bagi sektor e-hailing kepada 1,200 liter berbanding 600 liter ketika ini.

PENGHANTAR dalam kenyataan turut memohon Kementerian Kewangan memansuhkan syarat jarak minimum 3,000 kilometer bagi melayakkan pemandu menerima kuota tambahan itu.

“Berdasarkan maklum balas yang diterima daripada pemandu e-hailing sepenuh masa di negeri dan bandar kecil seperti di Kedah, kriteria berkenaan adalah sukar dan hampir mustahil untuk dipenuhi, memandangkan faktor lokasi dan jumlah permintaan perjalanan yang berbeza-beza di setiap kawasan.

“Selain itu, terdapat juga pemandu e-hailing yang bergantung hidup melalui sektor ini sambil menjaga ahli keluarga yang tidak sihat hingga membataskannya untuk mencapai jarak minimum 3,000 sekali gus menafikan kebajikan kepada kumpulan seumpama ini,” katanya, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying ketika Sidang Dewan Rakyat hari ini memaklumkan, kerajaan sedang meneliti semula mekanisme BUDI95 untuk sektor e-hailing.

Dalam pada itu, PENGHANTAR berkata, penjelasan yang terperinci daripada pihak kerajaan amat diperlukan bagi memastikan pelaksanaan mekanisme baharu itu tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pemandu e-hailing.

“Penjelasan yang terlalu umum boleh menyebabkan salah faham serta pelaksanaan yang tidak seragam di peringkat lapangan.

“Kami menyarankan agar kekeliruan sebelum ini tidak berulang dan memberi angka lebih jelas mengenai tambahan kuota,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top