Ajar OKU ilmu tanam nanas

Ajar OKU ilmu tanam nanas

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Dalam usaha meluaskan skop program kebitaraan di bawah Projek Transformasi Teknologi dan Pengurusan Tanaman Nanas 2025, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) buat julung kalinya memilih komuniti orang kurang upaya (OKU), tahun ini.

LPNM kali ini akan bersama-sama Taman Sinar Harapan (TSH) Tampoi di sini, untuk memperkukuh pengetahuan dan kemahiran dalam meningkatkan kualiti serta produktiviti tanaman nanas melalui penerapan Amalan Pertanian Baik (APB) dan teknologi moden.

Timbalan Ketua Pengarah LPNM, Linda Buang berkata, program kebitaraan yang di bawah projek pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) LPNM itu akan memberi pendedahan kepada golongan OKU tentang kaedah penanaman nanas yang betul dan sistematik.

“Jika sebelum ini kita banyak menjalankan program pembelajaran ini dengan agensi, sekolah, masjid dan komuniti taman, tahun ini kita dapat meluaskan skop dengan memilih komuniti OKU.

“Kita akan memberikan sulur nanas ini bagi tanaman dalam polibeg, selain baja, racun, peralatan sokongan untuk tanaman serta kaedah teknologi bagi menguruskan nanas.

“Kita akan memantau usaha ini dari penanaman hingga mengeluarkan hasil yang mana hasilnya itu 100 peratus pergi kepada komuniti di institusi ini,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan di TSH Tampoi di sini, semalam.

Turut hadir, Pengetua TSH Tampoi, Maghfurah Mohd Zahir.

Linda berkata, sebanyak 200 sulur nanas varieti MD2 diserahkan kepada TSH Tampoi dalam polibeg dan 100 lagi adalah bagi tujuan landskap yang membabitkan insentif RM8,102.

“Kita akan memberi fokus kepada TSH Tampoi ini terlebih dahulu sebagai perintis yang mana hari ini kita mulakan dengan penanaman dan selepas tiga bulan kita bantu bagi kaedah pembajaan pula.

“Kita juga akan mengajar cara kawal penyakit dan makhluk perosak. Bagi varieti MD2, kita ambil tempoh dalam 14 bulan daripada tanam dan buahkan hasil.

“Kita juga akan bantu dari segi perluasan kawasan dengan tuai semula dan melihat keluasan tanah di sini, kita rasa kita boleh pergi ke maksimum 1,000 buah nanas,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai program kebitaraan LPNM, Linda berkata, ia adalah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) agensi berkenaan kepada golongan sasar dengan lebih 60 program telah dilaksanakan di Semenanjung Malaysia pada tahun ini.

Linda berkata, bantuan sulur nanas yang diberikan kepada peserta program adalah antara 300 hingga 3,000.

Pada masa sama, beliau berkata, LPNM dalam perancangan menambah skop pengisian dalam program berkenaan membabitkan tuaian sisa.

“Dalam perancangan kita, memang kita akan pantau setiap rantaian industri dari penanaman dan tuaian kedua benih, jualan benih atau perluasan kawasan.

“Akan datang, kita nak buat tuaian sisa pula yang mana kita boleh jadikan baja atau makanan haiwan, atau pun benang,” katanya.

Sementara itu, Maghfurah berkata, TSH Tampoi yang juga institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberi latihan dan penjagaan OKU lelaki berusia 15 tahun ke atas termasuk warga emas.

Katanya, di TSH Tampoi mempunyai kelas pertanian dan sebelum ini mereka sudah mengusahakan beberapa tanaman seperti cili, terung dan serai.

“Selain kelas penilaian asas, latihan kemahiran, latihan wajib, pemulihan dan asuhan; kita mempunyai kelas pertanian. Jadi, apabila kita ditawarkan untuk menyertai program kebitaraan LPNM ini, TSH Tampoi amat teruja kerana ini menjadi satu medium untuk kita luaskan kelas pertanian kita.

“Selaku institusi OKU yang melatih penghuni OKU, kita harap program ini akan berjaya memberi latihan kepada penghuni dan apabila mereka keluar dari institusi ini, mereka mampu untuk menguruskan tanaman sendiri.

“Selain itu, program ini diharap dapat memberi nilai tambah kepada institusi dan dapat menjana pendapatan seperti yang kami lakukan pada hasil tanaman cili, terung dan serai sebelum ini yang mana semuanya akan dikembalikan kepada penghuni,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top