Kuala Lumpur: Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Wilayah Persekutuan (MAKSWIP) terus membuktikan kehebatan mereka apabila sekali lagi menjuarai Kejohanan Futsal Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK) Malaysia 2025 baru-baru ini.
Aksi final penuh dramatik di Kompleks Belia dan Sukan (KOMBES) Selangor menyaksikan MAKSWIP menundukkan pasukan tuan rumah, Selangor, dengan keputusan 2-1 untuk mengekalkan takhta kejuaraan yang dimenangi tahun lalu.
Perlawanan yang sarat dengan debaran itu menjadi pentas kebangkitan bintang utama MAKSWIP, Hanis Farhana Shamsul Azizan, yang meledak dua gol gemilang sekali gus memastikan kemenangan milik skuad kendalian Mohamad Taufik Yaiyah.
Selangor yang tampil garang di depan penyokong sendiri hanya mampu merapatkan jurang menerusi jaringan tunggal Farahiyah Ridzuan, namun gagal menafikan keampuhan corak permainan tersusun lawan.
Pengurus Futsal Wanita MAKSWIP, Siti Maryam Anuar, berkata kejayaan mempertahankan kejuaraan itu bukan sekadar hasil latihan rapi, tetapi lahir daripada semangat luar biasa seluruh pasukan yang berjuang hingga ke wisel penamat.
Menurutnya, pemain menunjukkan disiplin tinggi sepanjang kejohanan dan saling menyokong antara satu sama lain walaupun berdepan tekanan hebat daripada penyokong tuan rumah.
Kecemerlangan individu turut menyerlah apabila Hanis Farhana dinobatkan sebagai Pemain Wanita Terbaik, manakala rakan sepasukan Noorasyeimah Mohamad Rashid diumumkan sebagai Penjaga Gol Terbaik Wanita.
Kejayaan ini sekali lagi menegaskan status MAKSWIP sebagai kuasa besar futsal wanita sektor awam iaitu pasukan yang bukan sahaja bermain dengan kemahiran, tetapi dengan hati dan jiwa seorang juara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




