Iga hilang sentuhan kemenangan

Iga hilang sentuhan kemenangan

Riyadh: Bintang tenis Poland, Iga Swiatek mengakui mungkin wujud unsur ‘karma’ selepas sekali lagi gagal mara ke separuh akhir WTA Finals apabila tewas 7-6 (3), 4-6, 2-6 kepada Amanda Anisimova dalam aksi peringkat kumpulan.

Kekalahan itu menambah derita buat bekas pemain nombor satu dunia itu yang sebelum ini turut tumbang kepada Amanda di suku akhir Terbuka Amerika Syarikat September lalu, kekalahan yang hadir sebagai ‘balasan’ selepas Iga pernah membelasah lawan sama 6-0, 6-0 di final Wimbledon.

Juara WTA Finals 2023 itu nyata buntu mencari jawapan apabila gagal mara ke empat terbaik dua tahun berturut-turut, biarpun menikmati musim penuh kejayaan termasuk memenangi kejuaraan di Wimbledon, Cincinnati dan Seoul.

“Bila kamu dah buat semua benda tapi masih tak cukup, mungkin itu bermakna kamu kena perbaiki lagi tenis kamu. Mental, fizikal, semuanya saya rasa baik,” kata pemain berusia 24 tahun itu.

“Saya sendiri tak faham kenapa tak boleh lepas peringkat kumpulan. Mungkin saya menang terlalu banyak tahun lalu dan ini karma. Rasa pelik… saya biasanya akan dapat hasil bila bekerja keras.”

Iga mengakhiri musim 2025 sebagai pemain nombor dua dunia, di belakang Aryna Sabalenka, dan kini memasang tekad untuk kembali memburu takhta nombor satu dunia pada musim depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top