KK Park: Dijual untuk menipu

KK Park: Dijual untuk menipu

Bangkok: Serbuan baru-baru ini di salah satu pusat penipuan internet paling terkenal di Myanmar mencetuskan ‘gelombang pengambilan pekerja’ apabila para pekerja yang melarikan diri berebut-rebut untuk bekerja di kilang penipuan berhampiran, menurut pakar dan orang dalam yang ditemui AFP.

Pusat penipuan dalam talian kini berkembang pesat di seluruh Asia Tenggara, menipu mangsa tidak bersalah sehingga berbilion dolar setiap tahun melalui taktik cinta palsu dan pelaburan kripto. Ramai pekerja dilaporkan menjadi mangsa pemerdagangan manusia ke pusat ini, namun ada juga yang menyertai secara sukarela kerana tertarik dengan tawaran gaji lumayan.

Serbuan pada akhir Oktober lalu menggoncang pusat penipuan KK Park di Myanmar, menyebabkan lebih 1,500 orang melarikan diri ke Thailand – tetapi ramai juga kekal untuk mencari peluang baharu dalam pasaran gelap. Seorang pekerja penipuan warga China memberitahu AFP bahawa ratusan orang dari KK Park tiba di pusatnya yang terletak tiga kilometer dari situ pada 23 Oktober, tertarik dengan gaji sehingga AS$1,400 sebulan. Lelaki itu yang enggan dikenali atas faktor keselamatan, berkongsi lokasi langsung menunjukkan dia berada di Myanmar berhampiran sempadan Thailand.

“Ada yang akan diambil oleh majikan tidak jujur, ada juga yang bernasib baik dapat syarikat baik.

“Semuanya bergantung kepada nasib,” katanya.

Pakar kanan Global Initiative Against Transnational Organized Crime, Jason Tower, berkata ramai bekas pekerja KK Park telah ‘diambil semula’ oleh kumpulan penipuan lain.

“Ada yang sedang mencari lokasi baharu untuk meneruskan kegiatan penipuan mereka. “Bagi mereka, ini hanyalah satu pekerjaan,” katanya.

Jaringan bayaran kripto tanpa nama dan laporan mangsa yang rendah menjadikan jumlah kerugian akibat pusat penipuan sukar dianggarkan. Namun, menurut laporan PBB, mangsa di Asia Tenggara dan Timur sahaja kehilangan sehingga AS$37 bilion pada 2023, dengan jumlah sebenar di peringkat global dipercayai jauh lebih besar.

Kawasan sempadan Myanmar yang bergolak dan tidak dikawal rapi menjadi lokasi subur untuk pusat-pusat ini. Junta tentera yang merampas kuasa pada 2021 dituduh menutup mata terhadap pusat penipuan yang memperkayakan militia sekutu mereka. Namun, kerajaan tentera turut berdepan tekanan daripada penyokong utamanya, China, yang marah kerana rakyatnya menjadi sasaran dan juga direkrut untuk kegiatan tersebut.

Bulan lalu, junta Myanmar mendakwa tenteranya menawan sekitar 200 bangunan di KK Park dan menemui lebih 2,000 penipu.

Penganalisis berpendapat operasi itu hanya berskala kecil dan dirancang bagi meredakan tekanan antarabangsa tanpa menjejaskan keuntungan besar. Namun, tindakan itu tetap menyebabkan 1,500 orang dari 28 negara melarikan diri ke Thailand, termasuk kira-kira 500 warga India dan 200 warga Filipina.

Pihak berkuasa kini berdepan cabaran untuk membezakan antara mangsa pemerdagangan dan mereka yang menyertai secara sukarela. Seorang warga Filipina yang enggan dikenali berkata, dia melarikan diri dari KK Park pada 22 Oktober bersama kira-kira 30 rakan senegara ketika militia pro-junta tiba membantu serbuan.

“Semua orang lari keluar. Itulah peluang kami untuk melarikan diri” katanya.

Dia berkata, hanya sempat membawa sedikit barangan sebelum menyeberang ke barat Thailand menaiki bot.

Seorang pakar menganggarkan sekitar 20,000 orang bekerja di KK Park, majoritinya warga China. Mereka yang melarikan diri ke Thailand hanyalah kurang daripada 10 peratus. Namun, mereka yang masih tinggal tidak semestinya berada di situ secara sukarela.

Selepas kejadian itu, pekerja penipuan warga China di pusat berdekatan memberitahu AFP bahawa kumpulan bersenjata tempatan mengambil kesempatan menjual penipu yang kehilangan kerja kepada operasi lain dengan harga sehingga AS$70,000 seorang. Sama ada mereka pekerja sukarela atau mangsa pemerdagangan manusia masih belum dapat dipastikan.

Pekerja itu turut melaporkan mendengar ‘bunyi letupan setiap malam’ selepas serbuan, namun menganggap ia ‘sekadar sandiwara’ dan bukan tindakan tegas sebenar pihak berkuasa Myanmar.

Sementara itu, aktivis hak asasi berkata masalah ini hanya boleh diselesaikan dengan menumpaskan ketua sindiket dari China yang mengendalikan kegiatan tersebut.

“Mereka mesti ditangkap, didakwa dan semua aset mereka disita,” kata Jay Kritiya dari Civil Society Network for Human Trafficking Victims Assistance kepada AFP.

“Itulah tindakan tegas yang sebenar.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top