Ceroboh perairan negara, APMM tahan dua bot nelayan bersama 10 kru warga asing tanpa dokumen sah

Ceroboh perairan negara, APMM tahan dua bot nelayan bersama 10 kru warga asing tanpa dokumen sah

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menahan dua bot nelayan asing Indonesia bersama kru kerana disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan tanpa permit di perairan negara, kelmarin.

Pengarah APMM Selangor, Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, kedua-dua bot terbabit ditahan oleh APMM Malaysia ketika rondaan operasi dalam OP Ehsan, OP Murni dan OP Tiris di perairan Selangor.

“Kedua-dua bot nelayan asing terbabit ditahan pada jam 11 pagi dan 11.30 pagi di kedudukan 12.7 batu nautika barat daya Pulau Pintu Gedong.

“Pemeriksaan awal mendapati, setiap bot masing-masing dikendalikan seorang tekong bersama empat kru berusia dalam lingkungan 29 hingga 62 tahun.

“Siasatan mendapati, kedua-dua bot terbabit berasal dari Indonesia dan kesemua kru tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan.

Abdul Muhaimin berkata, bot bersama kru yang ditahan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM Selangor.

“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 iaitu melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana kru tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“APMM akan terus meningkatkan pemantauan dan penguat kuasaan undang-undang di kawasan perairan Malaysia khususnya perairan Selangor. Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana bot nelayan asing yang memasuki dan melakukan penangkapan ikan di perairan negara tanpa kebenaran.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan sebarang aktiviti mencurigakan di laut boleh menyalurkannya menerusi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor (013-6606652) untuk tindakan segera,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top