georgie@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Pencipta Kediaman Sihat CUCKOO International (MAL) Berhad (CUCKOO Malaysia) melancarkan pembukaan besar-besaran CUCKOO Brandshop ‘Cash-And-Carry’ pertama di IOI Mall Damansara.
Ketua Pegawai Eksekutif CUCKOO Malaysia, Hoe Kian Choon berkata, pelancaran itu langkah untuk mempercepat kehadiran ‘omni channel’ bagi produk di bawah jenama CUCKOO.
“Sejak 11 tahun lalu, CUCKOO Malaysia berkembang melangkaui syarikat penapis air untuk menjadi Pencipta Kediaman Sihat dengan menawarkan perkakas dan barangan rumah yang pelbagai.
“Terdapat dua prinsip utama teras pertumbuhan ini iaitu kemudahan akses dan mampu milik. Ia disokong dengan pelaburan dirancang sebanyak RM5 juta untuk membuka 10 kedai.
“Inisiatif ini bukan saja meluaskan jejak fizikal kami, tetapi juga berfungsi sebagai pameran inovasi terkini kami, termasuk produk yang baru dilancarkan hari ini,” katanya pada pelancarannya, semalam.
Hadir sama, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Phei Yong selain Nabil Ahmad selaku duta CUCKOO.
Menurutnya, inisiatif itu penegasan kukuh terhadap komitmen CUCKOO untuk memperkasa lebih ramai rakyat Malaysia untuk menjadi #SAMASAMAHealthier.
Ia juga bertepatan dengan Sambutan Ulang Tahun CUCKOO Malaysia ke-11 dan CUCKOO x TikTok Shop Super Brand Day yang akan diadakan dari 6 hingga 9 November ini.
Berbeza dengan CUCKOO Brandkiosk dan Brandstore sedia ada, ruang 1,023 kaki persegi itu direka moden, cerah, dan mesra melalui sentuhan minimalis kontemporari berasaskan tona kayu.
CUCKOO Brandshop juga menawarkan kemudahan runcit melalui konsep ‘Cash-And-Carry’ di mana pelanggan boleh membeli dan membawa pulang barangan harga kecil seperti periuk nasi, kepala mandian bertapis, dan alat memasak terus dari kedai.
Kedai ini juga berfungsi sebagai pusat pengalaman dengan pameran penuh rangkaian produk CUCKOO Malaysia.
Pembukaan CUCKOO Brandshop ‘Cash-And-Carry’ pertama ini adalah sebahagian pelan pelaburan RM5 juta untuk menubuhkan sebanyak 10 CUCKOO Brandshop di seluruh negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd

