Paris: Seorang pemilik kucing dari wilayah Hérault, Perancis terkejut apabila menerima aduan daripada jirannya mengenai kekerapan kucingnya keluar masuk ke kawasan rumah mereka, lapor Odditycentral.
Dalam aduan itu, jiran yang tidak didedahkan identitinya mendakwa kucing berwarna jingga itu, Remy meninggalkan kesan tapak kaki pada dinding, membuang air kecil di atas selimut dan meninggalkan najis di taman mereka.
Pada Januari lalu, mahkamah memihak kepada plaintif dan memerintahkan pemilik kucing itu, Dominique, sebanyak 1,250 euro (kira-kira RM5,875) dengan penalti tambahan sekiranya kucing itu melintasi pagar jiran berkenaan lagi.
“Apabila saya menerima pemberitahuan sabitan itu, saya seolah-olah dipukul dengan kuat di kepala.
“Sejak keputusan itu, saya menyimpan Remy di rumah.
“Berat badannya bertambah dan menjadi agresif. Saya tidak boleh meletakkannya di taman kerana bimbang dia akan melompat pagar.
“Dia seolah-olah dijatuhkan hukuman tahanan dalam rumah, satu bentuk pemenjaraan dan hukuman berganda,” kata Dominique kepada akhbar Perancis, Le Parisien.
Pemilik kucing berusia 70 tahun itu menegaskan jiran itu tidak dapat membuktikan Remy bersalah menceroboh sedangkan terdapat kucing lain termasuk kucing terbiar di kawasan kejiranan itu tetapi hakim nampaknya tidak peduli.
Malangnya, kisah itu belum berakhir apabila Dominique sekali lagi dipanggil ke mahkamah pada Disember ini.
Difahamkan, Remy melintasi semula pagar yang menjadi punca pertikaian dan tindakan itu boleh menyebabkan pemiliknya didenda tambahan €2,000 (kira-kira RM9,400) dan penalti harian sebanyak €150 (kira-kira RM705).
Pertikaian undang-undang luar biasa itu menarik perhatian kumpulan hak asasi haiwan di Perancis yang kebanyakannya berpendapat keputusan mahkamah itu menafikan hak semula jadi kucing untuk meneroka persekitarannya.
Tahun lalu, kes sama turut berlaku apabila sepasang suami isteri di Perancis yang disaman oleh jiran mereka kerana ayam jantan peliharaan mereka berkokok terlalu kuat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




